JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) negeri Johor menafikan sekeras-kerasnya fitnah yang sedang diviralkan dalam media sosial kononnya ada perjanjian antara Amanah dengan DAP, jika calon Amanah menjadi Menteri Besar.
Menerusi fitnah yang tersebar itu, didakwa mereka akan memperuntukan empat jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk DAP dalam Kerajaan negeri Johor.
Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassa berkata, fitnah tersebut mempunyai niat yang sangat jahat bagi memberikan gambaran Amanah sanggup mengadaikan kepentingan Melayu dan Islam dengan membuat perjanjian sulit itu.
“Fitnah ini mempunyai dua tujuan iaitu menjadi satu justifikasi kenapa Datuk Osman Sapian perlu menjadi Menteri Besar Johor.
“Selain itu, tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO (Sedili, Johor Lama dan Endau) yang melompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia perlu dianggap sebagai hero dalam menyelamatkan kuota Melayu dan Islam dalam barisan EXCO kerajaan Johor,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Menurut Aminolhuda, beliau mengharapkan rakyat Johor jangan mudah terpedaya dengan fitnah berniat jahat terbabit kerana boleh menanam bibit-bibit kebencian antara kaum dan agama di dalam negeri Johor selain boleh merencatkan usaha PH dalam mewujudkan perpaduan yang kukuh antara kaum dan agama di negeri Johor. – K! ONLINE










