JEMPOL 14 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menerima sebarang arahan bagi menyiasat bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung siasatan semula terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bagaimanapun berkata, pihak polis akan membuat siasatan sekiranya mempunyai asas atau menerima sebarang laporan daripada pihak tertentu.
“Setakat ini belum ada sebarang arahan ataupun laporan. Jadi, tiada sebarang perkara yang perlu disiasat,”katanya dalam majlis perasmian Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di sini hari ini.
Upacara perasmian disempurnakan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.
Majlis turut dihadiri Menteri Besar, Aminuddin Harun dan isteri, Wan Hasni Wan Yusof serta Ketua Polis negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata, kawalan ketat oleh polis di kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Taman Duta, Kuala Lumpur sejak semalam adalah sebagai langkah keselamatan.
Beliau berkata, kawalan itu bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku di kawasan berkenaan.
“Pihak polis hanya membuat pemantauan keselamatan terhadap beliau dan ingin memastikan tiada pihak tertentu cuba melakukan apa-apa perkara di luar jangkaan,”jelasnya.
Terdahulu dalam majlis itu, Tuanku Muhriz turut berkenan melawat IPD Jempol yang dibina dengan kos RM44.7 juta dan memberi manfaat kepada lebih 125,000 penduduk di kawasan sekitar.










