Teruskan bantuan subsidi pesawah - Utusan Malaysia

Teruskan bantuan subsidi pesawah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK 17 Mei – Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berharap kerajaan Pakatan Harapan meneruskan bantuan dan subsidi untuk pesawah seperti yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.

Menurutnya, subsidi baja dan racun perlu diteruskan bagi menyokong aktiviti penanaman padi yang diusahakan oleh orang Melayu.

Katanya, beliau berharap tidak berlaku pengurang peruntukkan oleh kerajaan dalam meneruskan program bantuan kepada rakyat yang terlibat dalam pertanian.

“Saya berharap peruntukan subsidi baja dan racun selama ini yang kerajaan Barisan Nasional (BN) beri tiap-tiap musim diteruskan. Nilai keseluruhan bantuan ialah RM2,500 satu hektar semusim yang diberikan secara percuma.

“Kalau dua musim setahun jumlahnya RM5,000 sehektar, kalau dua hektar dapat RM10,000, namun bantuan ini kita belum tahu akan diteruskan ataupun dipotong oleh kerajaan yang baharu,” kata­nya ketika berucap dalam program bersama rakyat di sini semalam.

Sementara itu, Tajuddin yang merupakan bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, kekalahan BN me­rupakan ujian supaya penyokong BN bersabar dan setia dalam perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air.

Menurutnya, ahli UMNO tidak wa­­jar meninggalkan perjuangan parti seperti yang dilakukan oleh ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang menyertai PPBM selepas PRU-14.

Kata Tajuddin, pengorbanan UMNO untuk memenangkan Zainol Fadzi dalam PRU-14 tidak ternilai namun dikhianati apabila ADUN Sungai Manik itu menyertai Pakatan Harapan.

“Dia masuk sebelah sana de­ngan alasan nak tolong orang Su­ngai Manik supaya dapat bantuan daripada kerajaan yang baharu. Perjuangan kita tidak ternilai. Kita mempertaruhkan nyawa atas perjuangan demi agama, bangsa dan negara,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×