Syamsul Debat perjelas beliau masih bersama UMNO - Utusan Malaysia

Syamsul Debat perjelas beliau masih bersama UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Penceramah motivasi, Syamsul Amri Ismail atau Syamsul Debat, 41, menjelaskan beliau masih bersama UMNO walaupun bertindak melepaskan jawatan yang disandang dalam parti itu.

Menurutnya, ramai pihak salah faham beliau keluar UMNO berikutan kenyataannya yang disiarkan menerusi laman Facebook rasminya ‘Syamsul Amri Ismail Official’ hari ini.

“Saya masih bersama UMNO. Saya cuma lepaskan jawatan saya dalam parti itu bagi memberi laluan kepada individu lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya diminta bertanding pemilihan UMNO akan datang, tetapi saya sibuk dengan jadual ceramah dan mahu menumpukan perhatian kepada Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM),” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Syamsul Debat dalam kenyataannya hari ini mengumumkan beliau melepaskan jawatan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Cawangan Pancor, Ketua Penerangan UMNO Cawangan Pancor dan Penceramah Biro Penerangan UMNO Malaysia.

Beliau antara lain memaklumkan mengambil tanggungjawab di atas keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) selain mahu memberi tumpuan terhadap aktiviti badan bukan kerajaan (NGO).

Dalam PRU-14 pada 9 Mei lalu, Syamsul Debat yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) gagal memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat selepas memperoleh 6,419 undi.

Kerusi itu dimenangi oleh Aminuddin Harun daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperoleh 9,832 undi.

Calon Pas, Rahim Yusof memperoleh 1,331 undi, manakala calon bebas Bujang Abu mendapat 15 undi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN