TELUK INTAN – Suspek lelaki yang dipercayai menetak tiga beradik sehingga maut di Kampung Sungai Haji Muhamad dekat Bagan Datuk di sini semalam ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Majistret Syahdatul Kamila Zakaria membenarkan pekerja penyelenggara berusia 35 tahun itu ditahan reman sehingga 24 Mei depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Prosiding tahanan reman terhadap suspek yang merupakan rakan sekerja bapa ketiga-tiga mangsa tersebut berlangsung kira-kira 10 minit di Mahkamah Majistret Teluk Intan di sini hari ini.
Kosmo! Online melaporkan, tiga kanak-kanak berusia antara dua hingga lima tahun maut ditetak seorang lelaki yang mengamuk di Kampung Sungai Haji Muhamad dekat Rungkup di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu,tiga beradik iaitu Mohammad Faqhqih Zahirulhaq Mohd. Fadzil, 5, dan dua adiknya, Nur Ziah Fasihah, 2, dan Muhanmad Firash Zaffril, 3, maut di lokasi kejadian.
Ibu mangsa, Zuraidah Md. Ali, 35, mengalami kecederaan parah pada tangan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur manakala kakak sulung mangsa, Nur Zuryn Faziera, 9, serta bapa mangsa, Mohd. Fadzil Mohammad, 32, cedera ringan. – K! ONLINE










