SHAH ALAM 18 Mei – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 441 golongan asnaf yang memerlukan di daerah Petaling.
Baginda menyerahkan sumbangan tersebut yang melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM220,500 merangkumi 66 orang asnaf fakir, asnaf miskin (204 orang) serta 171 asnaf mualaf atau saudara baharu.
Hadir sama mengiringi baginda dalam majlis yang berlangsung di Dewan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah itu ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Turut menyaksikan penyerahan sumbangan tersebut ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abd. Wahid; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Haris Kassim.
Baginda kemudiannya berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada empat syarikat dengan nilai keseluruhan RM14.3 juta.
Empat syarikat terbabit ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang melaksanakan pembayaran zakat sebanyak RM4.71 juta; Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (RM4.39 juta); UMW Holdings Berhad (RM2.69 juta) serta Kumpulan Worldwide Holdings Berhad berjumlah RM2.51 juta.
Sementara itu, Mohammed Khusrin ketika berucap dalam majlis tersebut memberitahu, secara keseluruhan Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan mengagihkan RM35.1 juta bantuan zakat untuk keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf di Selangor pada tahun ini.
“Daripada jumlah itu, RM9.5 juta akan diagihkan kepada 12,528 asnaf fakir manakala RM23.4 juta untuk 31,718 asnaf miskin dan RM2.1 juta kepada 5,777 penerima asnaf mualaf,” ujarnya.
Baginda serta permaisuri kemudiannya berkenaan berangkat berbuka puasa serta menunaikan solat sunat tarawih bersama-sama rakyat. – UTUSAN ONLINE










