Sultan Selangor perkenan melantik Azmin Ali sebagai MB Selangor - Utusan Malaysia

Sultan Selangor perkenan melantik Azmin Ali sebagai MB Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor berkuat kuasa esok. 

 Setiausaha sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan berkata, istiadat pelantikan dan angkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor akan diadakan di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pukul 3 petang esok. 

Katanya, Mohamed Azmin telah menghadap Sultan Selangor hari ini pada pukul 12 tengah hari tadi untuk menyembah maklum kepada baginda mengenai keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 bagi negeri Selangor dan situasi semasa di dalam pimpinan Pakatan Harapan (PH). 

“Beliau (Mohamed Azmin) juga menyembah maklumkan kepada baginda bahawa beliau telah mendapat sokongan daripada Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor bagi parti PH untuk dilantik sebagai Menteri Besar. 

“Sultan Selangor juga berkenan untuk pentadbiran kerajaan negeri dibentuk secapat mungkin selepas mendapat mandat daripada rakyat demi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri, keharmonian dan kesejahteraan rakyat,”katanya. 

Pada PRU-14, Pakatan Harapan berjaya meraih 51 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), BN empat kerusi, manakala PAS hanya mampu mempertahankan kerusi Sijangkang di Selangor.

Selangor mempunyai 22 kerusi Parlimen dan 56 kerusi DUN. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×