Sultan Johor teliti tindakan, keputusan - Utusan Malaysia

Sultan Johor teliti tindakan, keputusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 17 Mei – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan meneliti setiap tindakan dan keputusan dibuat kerajaan negeri yang baharu di samping memberi nasihat, teguran dan pandangan bagi memastikan kepentingan rak­yat dan negeri ini dijaga.

SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR

Baginda mengingatkan kepe­mimpinan baharu kerajaan nege­ri supaya memikul amanah serta tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas, sekali gus mahu barisan Exco yang dipilih memberikan komitmen dan kerjasama penuh kepada Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.

“Saya tidak akan membenarkan mana-mana pihak untuk mengkhianati negeri dan rakyat saya atau cuba menghancurkan perpaduan, kemakmuran dan ke­sejahteraan hidup Bangsa Johor.

“Kerajaan negeri mestilah ber­tindak mengikut prosedur, peraturan dan undang-undang,” titah baginda dalam Majlis Istiadat Pengisytiharan Menteri Besar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor di Istana Besar di sini, semalam.

Sultan Ibrahim bertitah, sekiranya ada ahli Exco yang gagal melaksanakan tanggungjawab, baginda berharap menteri besar tahu bagaimana untuk menyelesaikannya.

Titah baginda, jawatan yang disandang bukan untuk mencari kemewahan ahli-ahli parti, seba­liknya perlu menjalankan per­khidmatan dengan penuh integriti, dedikasi, adil dan saksama.

“Janji-janji yang ditaburkan pada pilihan raya lalu perlu ditunaikan, di samping memastikan pentadbiran yang telus,” titah ba­ginda.

Terdahulu, seramai 10 ahli Ex­co kerajaan negeri yang baharu mengangkat sumpah di hadapan baginda di Dewan Singgahsana, Istana Besar kira-kira pada pukul 10.30 pagi.

Turut berangkat ke majlis ber­kenaan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan anakanda yang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×