KUALA LUMPUR 25 Mei- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir ke rumah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman di Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu lalu.
Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan sepasukan pegawainya hadir ke kediaman Musa bagi menjalankan siasatan.
“Ya, memang kami ada datang ke rumah beliau, tetapi tiada pemeriksaan dilakukan kerana Musa tiada di rumah,” jawabnya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp tanpa memberitahu waktu dan tujuan sebenar pegawainya hadir ke kediaman bekas Ketua Menteri Sabah itu.
Sementara itu, Peguam Musa, Zahir Shah menerusi satu kenyataan mengesahkan mengenai kehadiran pegawai SPRM terbabit.
Bagaimanapun, jelasnya, pihak SPRM tidak dapat memasuki kediaman itu berikutan Musa tiada di rumah.
“Ya, SPRM ada buat pemeriksaan tetapi tiada sebarang fail atau dokumen dirampas,” katanya.- UTUSAN ONLINE











