SPRM beri jaminan siasat laporan rasuah sepanjang PRU-14 - Utusan Malaysia

SPRM beri jaminan siasat laporan rasuah sepanjang PRU-14

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 11 Mei- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan akan melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap laporan aktiviti rasuah sepanjang musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, terdapat banyak aduan yang diterima pihaknya sepanjang PRU-14 termasuk laporan yang mendakwa ada pihak menerima rasuah semasa kempen.

“Kita menerima banyak aduan mengenai perkara ini, ada laporan yang diserta dengan gambar dan juga video. Siasatan lanjut akan dijalankan kerana setiap laporan yang diberikan kepada SPRM ada yang betul ada yang salah.

“SPRM memberi jaminan akan menyiasat setiap laporan beserta bukti yang dilampirkan. Kita perlu mengenal pasti lokasi, suspek dan juga penerima bagi kegiatan rasuah,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Menurut Azam, pihaknya akan membuka kertas siasatan berasingan bagi setiap kes yang diterima sepanjang musim PRU-14.

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, suruhanjaya itu dilihat tidak mempedulikan kegiatan rasuah yang berlaku secara berleluasa sepanjang PRU-14.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dalam sidang akhbarnya juga menyatakan, kerajaan akan mengkaji sama ada SPRM bertindak secara adil atau sebaliknya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×