PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan sengaja melengah-lengahkan keputusan dengan tidak mengisytiharkan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Menurutnya, seperti yang diketahui umum pengiraan undi telah tamat namun pegawai SPR yang terlibat enggan menandatangani penyata pengundian selepas pengiraan undi.
“Sekarang kita ada banyak kawasan pengiraan telah selesai.
“Tetapi pegawai yang berkenaan enggan menandatangani borang tersebut. Oleh itu, pengumuman rasmi tidak dapat dibuat,” katanya pada sidang akhbar di Hotel Shareton di sini semalam.
Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu serta Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau juga berkata, PH telah memenangi sebanyak 112 daripada 222 kerusi Parlimen.
“Ini bukan berita palsu. Anda tidak boleh membawa saya ke mahkamah untuk berita palsu.
“Mereka (BN) jauh ketinggalan. Kemungkinan, mereka tidak akan membentuk kerajaan.” katanya.
Jelasnya, Dr. Mahathir juga mendakwa mesyuarat khas akan diadakan dan beliau bimbang tentang niat pertemuan tersebut.
Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, setakat ini PH telah berjaya menawan enam buah negeri di Semenanjung Malaysia pada PRU-14.
“Antaranya Melaka, Pulau Pinang, Selangor, Johor, Negeri Sembilan serta Kedah,” ujarnya.










