SPR atau Bersih kendalikan PRU-14? - Utusan Malaysia

SPR atau Bersih kendalikan PRU-14?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PIHAK manakah yang mengendalikan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini? pertubuhan bukan kerajaan (NGO) propembangkang, Bersih atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ini berikutan setiap provokasi, kekeliruan, keraguan, fitnah serta tohmahan, segala dirujuk kepada Bersih dan bukannya SPR yang kuasanya diperuntukkan di bawah undang-undang.

Setiap dakwaan-dakwaan dalam media sosial dan portal-portal propembangkang telah memetik Bersih yang kononnya non-partisan namun semua pihak sudah maklum mengenai kecenderungannya untuk menjatuhkan kerajaan.

Malah bekas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah telah membuka ‘topengnya’ apabila bertanding di kerusi Parlimen Petaling Jaya di bawah tiket PKR dalam pilihan raya umum kali ini.

Permainan kotor ‘Bersih’ bagai mengulangi episod dalam pilihan raya umum sebelum ini yang mana mereka begitu kencang mendakwa kewujudan pengundi hantu serta pelbagai tohmahan lain namun tidak pernah sekalipun membuktikannya menerusi petisyen pilihan raya.

Ibarat alat kepada gabungan pembangkang PKR, Bersih ‘menghalalkan’ segala cercaan dan makin hamun terhadap SPR sedangkan tiada fakta untuk menyokong dakwaan-dakwaan yang dilemparkan.

Bagi Bersih serta penyokong-penyokongnya, wajar sekali nasihat daripada Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah diterima oleh mereka iaitu setiap dakwaan-dakwaan dilemparkan itu perlu disertakan sekali dengan laporan polis.

Pihak yang sesuka-hati membuat tuduhan-tuduhan itu tidak sepatutnya lepas tangan daripada bidang kuasa undang-undang kerana keraguan dan kegemparan yang ditimbulkan mereka telah menghakis kepercayaan rakyat kepada sistem demokrasi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×