SAYA menulis untuk menyokong sepenuhnya pelantikan Dr. Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan yang baharu. Beliau mempunyai pengalaman luas di dalam hal-hal pendidikan di samping seorang yang berani dan berkaliber untuk menyuarakan pendapatnya.

Rakyat di kawasannya telah memilih beliau untuk menjadi wakil mereka. Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri yang telah diamanahkan oleh majoriti rakyat negara ini untuk menjadi Perdana Menteri juga bersetuju melantik Maszlee sebagai Menteri Pendidikan.
Ini bermakna Dr. Mahathir mempunyai keyakinan penuh terhadap kebolehan dan kewibawaan Maszlee. Janganlah kita ragu-ragu lagi tentang kebijaksanaan Dr. Mahathir dan janganlah juga kita memberi masalah kepada Perdana Menteri kerana beliau mempunyai tugas yang sangat berat untuk mentadbir negara kita ini.
Apapun pegangan dan kepercayaan seseorang itu adalah kepunyaan peribadinya. Orang seperti Dr. Mahathir, Maszlee dan kita sendiri semuanya mempunyai pegangan peribadi, tetapi kita tidak akan dipengaruhi oleh pegangan peribadi kita itu dalam pentadbiran yang membabitkan orang ramai dan rakyat.
Saya ingin bertanya mengapakah kita perlu mempersoalkan pelantikan Maszlee hanya kerana beliau adalah seorang graduan di dalam jurusan agama? Apakah bezanya beliau dengan menteri-menteri yang lain yang berkelulusan di dalam pelbagai bidang seperti sains, sastera, perubatan, undang-undang, kejuruteraan, ekonomi dan sebagainya?
Oleh yang demikian, saya menyeru kepada rakyat Malaysia supaya kita tidak mempersoalkan pelantikan Maszlee sebagai Menteri Pendidikan. Biarlah beliau meneruskan amanah yang telah diberikan kepadanya itu dan kita akan sama-sama melihat prestasinya nanti.
DATUK PROF. EMERITUS KAPTEN DR. HASHIM YAACOB
Bekas Naib Canselor Universiti Malaya










