KUALA LUMPUR 18 Mei- Tiga tahun berkahwin tanpa kehadiran cahaya mata, pengacara popular Sarimah Ibrahim mendedahkan dia pernah mendapatkan nasihat penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berhubung rawatan kesuburan.
Sarimah, 40, berkata, dia tidak menolak kemungkinan akan mencuba teknologi tersebut namun perancangan tersebut tidak akan berlaku sekarang.
“Memang pernah terfikir untuk cuba rawatan moden. Malah, Siti juga akan berkongsi rahsia tentang rawatan kesuburan. Saya dan Siti sama-sama kuat bekerja, jadi dia faham diri saya.
“Saya sendiri menangis apabila mendapat tahu dia hamil. Saya cuba faham dan jadi sekuat dia. 11 tahun menunggu dan akhirnya Allah kurniakan cahaya mata. Saya baru tiga tahun kahwin.
“Saya dan suami dua-dua sihat. Tapi mungkin kesibukan kerja menyukarkan hasrat. Selepas ini saya mahu rehat dan fokus kepada keluarga semata-mata,” katanya.
Sarimah ditemui semasa pelancaran produk kosmetik pertamanya, Thrill yang mendapat kerjasama daripada portal beli belah terkemuka, Lazada di sini semalam.
Sarimah berkahwin dengan cucunda Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, 44 atau mesra disapa Tunku Jamie pada 2 April 2015. – UTUSAN ONLINE










