KUALA LUMPUR – Polis tidak pernah menghentikan siasatan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebaliknya memfokuskan semula siasatan mengikut perspektif pasukan itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan berkaitan 1MDB dilakukan mengikut Akta Kanun Keseksaan, Akta Syarikat serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Mohamad Fuzi memberitahu, pihaknya juga bersedia memberi kerjasama penuh dengan Jawatankuasa Siasatan 1MDB serta Pasukan Khas Siasatan 1MDB yang dilantik oleh Majlis Penasihat Kerajaan.
“Kita juga bekerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) dalam menjalankan siasatan berhubung kes ini.
“Saya boleh mengesahkan siasatan 1MDB masih diteruskan mengikut perspektif polis dan semua laporan itu akan dikemuka kepada pasukan khas 1MDB,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bungkusan Hari Raya Polis Diraja Malaysia Sempena Aidilfitri 2018 di Bukit Aman di sini semalam.
Turut hadir Timbalannya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.











