SAUDARA PENGARANG, JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) diminta mengkaji semula cara lantikan Pegawai Tadbir (Setiausaha) yang dilantik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Sebagaimana kita tahu, setiap PBT ada seorang setiausaha yang menjaga dan menjalankan tugas untuk mengawasi pegawai dan kakitangan di bawah seliaannya.
Apa yang saya lihat, ada sesetengah PBT menukar setiausaha mereka ke PBT lain tanpa ada penggantinya dan nampak berlaku `kecacatan’ apabila tidak ada setiausaha untuk menerajui PBT tersebut.
Persoalannya, adakah setiausaha PBT boleh ditukarkan ke PBT lain sedangkan lantikan dibuat oleh PBT terbabit sebagaimana peruntukan waran yang diluluskan oleh JPA?
Paling jelas ‘kecacatan’ apabila seorang setiausaha ditukarkan ke PBT lain, semua pembayaran gaji dan kemudahan lain dibayar oleh PBT yang melantiknya dan bukan PBT yang menjadi tempat kerja baharu.
Harap pihak JPA menyemak semula perkara ini dan kembalikan setiausaha terbabit ke tempat asal mereka dilantik bertugas. Di harap menteri baharu yang bertanggungjawab dalam perkara ini turut mengambil perhatian.
PANTAU PBT








