KUALA LUMPUR 23 Mei – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah telah melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Perkara itu telah disahkan sendiri oleh beliau kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkenaan mengutamakan penangguhan pembayaran wang pinjaman PTPTN bagi mereka yang berpendapatan bawah RM4,000.
“Saya bukan Pengerusi lagi, saya sudah letak jawatan,” katanya menerusi pesanan aplikasi Whatsapp di sini, hari ini.
Beliau yang menerajui PTPTN sejak tahun 2013 berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Lenggong dengan majoriti 5,773 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Ketika ditanya mengenai tarikh rasmi peletakan jawatannya, Shamsul Anuar enggan memberikan reaksi.
Memetik laporan portal Free Malaysia Today (FMT), beliau dikatakan telah berbuat demikian pada 15 Mei lalu susulan kekalahan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-14.
Tambahnya, ia dibuat agar dapat memberikan lebih fokus sebagai Ahli Parlimen Lenggong dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.










