JAKARTA – Pengebom berani mati bertindak menyerang Balai Polis Surabaya, sehari selepas serangan berani mati di tiga gereja di bandar itu semalam yang mengorbankan 13 nyawa.
Menurut polis Indonesia, dalam kejadian 8.50 pagi itu, letupan bom berlaku di pintu masuk balai polis yang terletak di Jalan Sikatan No 1 Krembangan, Surabaya.
Ketua Polis Surabaya, Frans Barung Mangera berkata, setakat ini enam disahkan mati dalam kejadian itu manakala 10 lagi cedera.
“Setakat maklumat pukul 10 pagi ini, enam disahkan terbunuh dan 10 mangsa cedera itu terdiri daripada empat anggota polis dan enam orang awam,” katanya.
Rakaman litar televisyen tertutup berhubung kejadian itu turut tular, memperlihatkan beberapa anggota polis sedang melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan Toyota Avanza.
Seketika kemudian, sebuah motosikal memasuki pintu masuk dengan dituruti sebuah lagi motosikal yang dilihat dalam keadaan tergesa-gesa sebelum letupan berlaku.
Jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia turut meminta rakyat Malaysia yang berada di Indonesia agar lebih berwaspada.
“Kedutaan sedang memantau situasi yang berlaku di Surabaya,” kata jurucakap itu. – Bernama










