PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, senarai anggota Kabinet dan kementerian diputuskan olehnya secara prinsip sebagai Perdana Menteri.
Beliau berkata, parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) mengemukakan cadangan nama anggota Kabinet dan pilihan kementerian masing-masing.
“(Dan) saya akan sahkan siapa pegang jawatan dan kementeriannya. Ada kemungkinan saya jumpa sekali lagi dengan ketua parti (dalam Pakatan Harapan) tapi prinsipnya ialah keputusan dibuat oleh saya sebagai Perdana Menteri,” kata beliau pada sidang akhbar yang padat dengan wartawan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Dr. Mahathir berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah mengemukakan cadangan nama daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan jawatan masing-masing dalam Kabinet ketika bertemu dengan beliau hari ini.
“Mereka (PKR) mengemukakan 10 nama walaupun diminta tiga (nama). Dalam 10 nama itu, keutamaan ialah untuk anggota teras Kabinet iaitu 10 orang,” kata beliau. – Bernama











