KUALA NERUS 15 Mei – Sekolah Sultan Alam Shah muncul juara dalam pertandingan Choral Speaking Peringkat Kebangsaan 2018 dalam persaingan sengit yang berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini kelmarin.
Diwakili kumpulan 25 pelajarnya, mereka memperlihatkan persembahan yang cukup menarik untuk dipilih sebagai yang terbaik, sekali gus membawa pulang Piala Naib Canselor UMT di samping RM1,500, plak dan sijil.
Dalam persaingan melibatkan sembilan buah sekolah yang menjadi johan di peringkat zon masing-masing, tempat kedua disandang oleh Sekolah Menengah (SM) Sains Tuanku Muhammad Faris Petra, manakala SM Sains Sultan Iskandar pula di tempat ketiga.
Turut serta dalam pertandingan tersebut ialah SM Sains Sultan Muhammad Jiwa; SM Sains Machang; Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya; SM Sains Muzaffar Syah; SM Sains Kubang Pasu dan SM Sains Miri.
Penganjuran pertandingan ini mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM).
Dalam penganjuran kali ini, UMT mengetengahkan tema Clean Our Ocean bagi membangkitkan kesedaran kepentingan menjaga dan memulihara kelestarian laut dan biodiversiti sempena sambutan Hari Lautan Sedunia yang disambut pada 8 Jun setiap tahun.
Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar dalam ucapannya berkata, pertandingan ini bukan sahaja dapat memberi pendedahan berkaitan kepentingan melindungi biodiversiti marin, malah turut memperkasakan tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.
“Secara tidak langsung memperkenal dan mendekatkan UMT sebagai universiti awam yang menawarkan bidang sains kelautan kepada para pelajar, di samping menyemai minat dan kecenderungan mereka untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan serta memilih kerjaya kelak,” ujarnya.










