Sangkar ikan musnah diserang gajah liar - Utusan Malaysia

Sangkar ikan musnah diserang gajah liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 18 Mei – Seorang penternak di Kampung Meranto di sini kerugian lebih RM10,000 selepas sangkar ikannya musnah dirosakkan dua ekor gajah liar tiga hari berturut-turut.

Che Ariffin Husain, 63, berkata, selain itu lebih 50 pokok kelapa dan pisang yang ditanam di kawasan itu turut dimusnahkan haiwan terbabit.

Katanya, gajah berkenaan telah menyerang lapan sangkar yang menempatkan 10,000 ekor ikan keli, talapia dan patin yang diternaknya lebih dua tahun lalu.

“Bermula Rabu lalu, kira-kira pukul 3 pagi, gajah berkenaan telah merosakkan tanaman dan sangkar ikan.

“Sebelum ini saya dapat menjana pendapatan RM50 sehingga RM100 sehari, namun sempena bulan Ramadan ini saya kehilangan sumber pendapatan selepas diserang gajah berkenaan,” katanya.

Che Ariffin berkata, dia telah membuat laporan pada pukul 10 pagi ini kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Katanya, beliau percaya gajah berkenaan masih berada di kawasan berhampiran dan haiwan itu aktif bergerak pada waktu malam.

“Ketika ini kira-kira 30 penternak dan pekebun di Kampung Meranto di sini berada dalam ketakutan dengan serangan gajah itu.

“Kami berharap pihak Perhilitan segera bertindak memasang perangkap bagi menangkap gajah itu,” katanya.

Che Ariffin berkata, serangan gajah liar itu merupakan kejadian kali pertama sejak dia bersama isterinya Hazmah Husin, 56, mengusahakan tanah kebun sejak tahun 2010. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×