BANGKOK 23 Mei – Prestasi hambar yang ditampilkan beregu wanita dalam kejohanan Piala Uber kali ini bakal membawa kepada pengguguran beberapa pemain senior, dan membuka peluang kepada kemasukan ramai pemain remaja.
Ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak mengakui Piala Uber 2018 telah menyerlahkan betapa standard pemain negara masih dalam kelompok kedua dan mereka akan terus statik di kedudukan itu jika tidak berani melakukan perubahan.
Kegagalan beregu menyumbang mata dalam dua perlawanan penting Kumpulan D menentang Indonesia dan China menyebabkan Malaysia gagal memenuhi sasaran suku akhir.
Dalam perlawanan pelengkap jadual menentang Perancis sekali pun, beregu wanita menunjukkan aksi kurang meyakinkan walaupun akhirnya berjaya mengutip mata untuk membantu kemenangan 5-0 Malaysia di Arena Impact hari ini.
“Apabila kami datang ke sini, saya sudah beritahu kita akan jumpa (kelompok) beregu 10 terbaik dunia, dan tengok sama ada kita boleh bersaing atau tidak. Terbukti, kita berada dalam kelompok kedua.
“Sudah tentu saya melakukan beberapa eksperimen di sini, kombinasi Vivian Hoo dan Chow Mei Kuan juga kita cuba. Memang mereka menang dalam Sukan Komanwel tetapi jelas standard di sini sangat berbeza, dan kita kena terima.
“Saya percaya, sekarang adalah masanya beregu wanita melakukan perubahan kalau kita mahu pergi ke peringkat lebih tinggi. Ada pemain yang perlu digugurkan bagi memberi peluang kepada pemain muda dibawa masuk.
“Ini kali pertama saya mengikut pasukan dalam kejohanan senior sejak mengambil alih beregu wanita, dan saya sudah ada dalam fikiran siapa pemain senior yang sudah tidak boleh pergi jauh dan siapa pemain remaja yang harus diberi peluang.
“Saya rasa kita sudah lama statik. Kalau kita hanya bercakap tentang Sukan SEA atau Sukan Komanwel tidak mengapa, tetapi kalau kita hendak pergi jauh kita kena berubah,” kata Rosman.
Bagaimanapun, katanya, rombakan hanya akan dilakukan pada Ogos iaitu selepas tamat Kejohanan Dunia di Nanjing, China dari 30 Julai hingga 5 Ogos, malah pertukaran harus dibuat dengan berhati-hati memandangkan 2019 akan menjadi tempoh kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.
“Selepas bulan Ogos kita akan buat keputusan yang penting, harap kita ada beregu baharu ketika itu.
“Begitupun banyak perkara yang perlu diambil kira dalam melakukan pertukaran. Apakah akan lebih baik daripada sekarang, apakah saya mempunyai masa yang cukup untuk layak ke Sukan Olimpik, selain melihat kepada faktor umur.
“Kita ada kumpulan pemain remaja yang boleh diberi peluang, (kumpulan itu) tidak besar tetapi saya tidak punya pilihan dan hanya memilih daripada kelompok terbaik yang ada. Kalau kita lihat di Bangkok, prestasi Goh Yea Ching agak baik biarpun tidak cukup bagus,” katanya lagi.
Malaysia menamatkan kempen Piala Uber dengan kegagalan mencapai sasaran layak ke suku akhir selepas tewas 2-3 dan 1-4 kepada Indonesia serta China dalam dua aksi pertama.
Pasukan negara mengalahkan Perancis 5-0 dalam perlawanan terakhir hari ini selepas menurunkan Goh Jin Wei, Mei Kuan-Lee Meng Yean, Lee Ying Ying, Vivian-Tee Jing Yi serta S. Kisona. – UTUSAN










