PEJAM celik, tiga hari sahaja lagi umat Islam bakal menyambut kedatangan bulan paling mulia dalam kalendar Islam iaitu bulan Ramadan.
Dalam kesibukan umat Islam mempertingkatkan amalan dengan berpuasa pada siang hari dan menghidupkan waktu malam dengan ibadah lain, tentunya pelbagai rancangan televisyen dengan pengisian yang bermanfaat menjadi sajian kepada penonton sepanjang Ramadan nanti.
Sehubungan itu, bermula 19 Mei ini pada setiap hari Sabtu pukul 9 malam, sebuah rancangan bual bicara baharu istimewa sempena bulan Ramadan, Rojak bakal ditayangkan di saluran ntv7.
Diterbitkan oleh Primeworks Studios Sdn. Bhd., program berkenaan membariskan dua hos lelaki yang buat julung kalinya digandingkan iaitu Awal Ashaari dan Ajak Shiro.
“Pertama kali digandingkan dengan Awal Ashaari membuatkan saya teruja kerana belum pernah bekerja dengan dia sebelum ini.
“Saya juga tertarik untuk menerima tawaran mengacara rancangan ini kerana konsepnya yang santai dengan topik perbualan yang ringan sangat sesuai untuk tontonan seisi keluarga,” kata Ajak yang ditemui usai rakaman Rojak di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam baru-baru ini.
Bakal bersiaran sebanyak empat episod, selain sesi soal jawab di studio, Rojak menyajikan pelbagai segmen menarik yang melakukan penggambaran luar studio seperti persembahan di rumah-rumah orang tua dan Hop on Job, sebuah segmen memerlukan artis memasak serta menjual makanan di bazar Ramadan.
Antara barisan tetamu undangan yang menjayakan Rojak ialah Dayang Nurfaizah, Yasmin Hani, Afdlin Shauki, Jovian Mandagie dan Dai Syed.
“Sesuai dengan nama Rojak, pendek kata rancangan ini tiada konsep khas. Semua aktiviti yang dirasakan sesuai boleh dipaparkan.
“Bukan itu sahaja, tetamu undangannya juga tidak terikat hanya kepada rakan artis tetapi kami turut memanggil ahli sukan, penceramah agama, pelawak dan pereka fesyen untuk membincangkan topik pada minggu siaran,” kongsi Awal pula.
Lelong
Dalam pada itu, tambah Awal, rancangan selama sejam itu turut memaparkan aktiviti lelongan barangan peribadi kepunyaan beberapa barisan artis seperti Kaka, Izue Islam dan Tomok di Tapak Urban Street Dining, Kuala Lumpur.
“Hasil lelongan tersebut akan didermakan kepada badan-badan kebajikan. Saya agak terkejut kerana rata-rata pengunjung yang hadir ke Tapak Urban Street Dining tidak mengetahui bahawa kami akan mengadakan aktiviti lelongan pada hari tersebut.
“Bagaimanapun, kami tetap mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Kami berjaya melelong baju-T kepunyaan penyanyi Kaka pada harga melebihi RM1000 sehelai.
“Jaket yang saya pakai semasa aktiviti lelongan itu juga menjadi pilihan dan dibeli penonton,” kongsi Awal seraya menutup bicara.










