JALAN-JALAN ke Perlis tidak lengkap rasanya kalau tidak singgah di Restoran Mak Teh Gulai Termenung yang terletak di Kuala Sanglang. Lauk-lauk yang dihidangkan bukan sahaja sedap-sedap belaka malah bahan mentah seperti makanan laut diambil terus dari nelayan dan sudah tentu kesegarannya mestilah terjamin.
Melihat ruangan dalam Restoran Mak Teh tidaklah secantik restoran lain lain namun, jangan terkejut restorannya sentiasa dipenuhi pelanggan khususnya mereka yang menggemari masakan kampung dan ulam-ulaman. Seawal pagi dibuka sudah ada pelanggan yang singgah makan nasi dan lauk-pauk.
Menurut pemilik dan pengusaha restoran, Saadiah Baharom, 56, atau lebih dikenali sebagai Mak Teh, penggunaan bahan mentah yang segar dan resepi warisan turun temurun yang menggunakan rempah ratus buatan sendiri merupakan faktor utama mengapa ramai pengunjung memilih restoran tersebut sebagai salah satu destinasi pilihan.
“Restoran ini sudah lama beroperasi sejak 27 tahun lalu. Antara menu istimewa yang disediakan ialah Gulai Ikan termenung, Gulai Ikan Sembilang, Gulai Ikan Nyok-Nyok, Sotong Goreng Tepung, Udang Goreng Kunyit dan Ketam Telur Meleleh,
“Semua jenis masakan menjadi pilihan pengunjung. Masing-masing ada pilihan sendiri. Ada yang gemarkan masakan ikan dan ada yang sukakan masakan ketam. Namun, lauk Gulai Ikan Termenung yang membuatkan restoran ini dikenali ramai.
“Antara keistimewaan yang terdapat di sini menggunakan rempah ratus yang dibuat sendiri dan resipi merupakan warisan turun temurun dari keluarga. Bahan-bahan mentah seperti makanan laut diambil terus dari nelayan.
“Jadi kesegaran terjamin. Lagipun kebanyakan pelanggan suka makanan laut segar yang diambil dari lokasi berhampiran kerana rasanya yang lebih manis berbanding bekalan yang diambil dari luar daerah,” katanya.
Tambahnya, pengunjung yang datang bukan sahaja dari daerah terdekat, malah ramai juga yang datang dari negeri lain seperti Kedah, Kuala Lumpur, Selangor dan Kelantan.
“Pelancong yang datang bercuti ke Pulau Langkawi juga ramai yang luangkan masa singgah ke sini. Biasanya paling ramai pelanggan ketika waktu makan tengahari hingga ke petang. Restoran dibuka setiap hari kecuali hari Jumaat. Hujung minggu selalunya waktu paling sibuk,” katanya.
Bagi memastikan kelancaran operasi restoran, Mak Teh selalunya mengambil bekalan ikan dari dua atau tiga individu berlainan.
“Nelayan selalunya akan turun ke laut menangkap ikan dua kali dalam sehari. Jadi saya akan mendapatkan bekalan dua kali sehari dari dua atau tiga individu berbeza bagi memastikan tiada masalah ketidakcukupan bekalan berlaku.
“Selalunya bekalan ikan biasa diambil paling banyak iaitu 100 kilogram sehari. Kadang-kadang akan habis semuanya namun, ada masanya akan tinggal baki sedikit. Dari segi operasi kebanyakan diuruskan oleh ahli keluarga. Namun, ada juga ibu-ibu tunggal diambil bekerja bagi membantu mereka meraih pendapatan,” katanya.











