KLANG 17 Mei – Mahkamah Majistret di sini membenarkan tempoh tahanan reman selama lima hari ke atas seorang pegawai polis wanita berpangkat Inspektor bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima suapan RM2,000 daripada seorang pekerja swasta, Isnin lalu.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nik Nur Amalina Mat Zaidan bermula hari ini sehingga 21 Mei ini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan tersebut pada pukul 10.30 pagi.
Menurut sumber, pegawai polis terbabit difahamkan berusia 28 tahun ditahan SPRM kira-kira pukul 4.05 petang semalam di Balai Trafik Klang Selatan, di sini.
“Berdasarkan keterangan daripada pengadu yang berusia 35 tahun, pegawai polis wanita terbabit didakwa meminta wang berjumlah RM2,000 kira-kira pukul 11.45 malam, Isnin lalu.
“Wang tersebut dikatakan sebagai balasan untuk melepaskan kenderaan utiliti sukan (SUV) milik pengadu yang disita atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh,” kata sumber itu.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana meminta dan menerima rasuah.
Sabit kesalahan, seksyen itu memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.










