Ramadan yang Bermakna - Utusan Malaysia

Ramadan yang Bermakna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGALANYA berlaku terlalu pantas, tidak pernah terduga mahupun terlintas di benak fikiran Zahir. Wajahnya diselubungi kegusaran. Matanya masih terpana melihat ibu yang sedang tidur nyenyak bagai didendang. Mungkin kesan bius masih belum hilang. Beberapa minggu lepas, ibunya ada mengadu tapak kakinya terasa seperti dicucuk-cucuk. Tapi itu bukanlah kali pertama ibunya mengadu seperti itu. Sudah beberapa kali Zahir mengurut kaki ibunya dengan minyak gamat. Tapi sakit ibu tidak reda, bahkan ibu mula demam hingga mengigil-gigil.

“Ibu, marilah pergi klinik, makin teruk Zahir tengok keadaan ibu ni, melarat nanti”. Zahir memujuk ibunya. Namun wajah tua itu hanya tersenyum.” Tak mengapalah Zahir, sikit saja ini. Nanti kalau doktor tahan ibu dalam wad macam mana? Ibu tak biasalah. Esok lusa baiklah”. Zahir hanya mampu menggeleng.

Keesokan harinya, Zahir panik apabila ibunya sudah tidak mampu berjalan. “Zahir, cuba tengok kaki ibu ni Zahir, sakit sangat. Ibu tak nampak.” Zahir melihat ibunya masih terbaring. Perlahan diselak selimut yang menutupi kaki ibunya. Zahir nampak jari tengah kaki kanan ibunya sudah berwarna biru. Parah! Zahir menggumamsendirian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ibunya sudah seperti khayal dek kerana demam yang masih belum kebah ditambah pula sakit di kaki yang berdenyut-denyut. Zahir menggendong ibunya ke dalam kereta. Mahu ataupun tidak, ibunya perlu dirawat. Sampai di wad kecemasan, ibunya terus dibawa masuk ke bilik rawatan.

“Ada sesiapa waris Zariah Mansor”, laung jururawat yang bertugas. “Saya”. Zahir bingkas bangun merapati jururawat yang memanggil. “Cepat, doktor nak jumpa”. Zahir mengekori dibelakang. Hatinya tidak henti-henti beristighfar memohon agar Allah memudahkan urusan ibunya.

Di dalam sebuah bilik Zahir nampak ibunya terbaring lemah di atas katil. Beberapa orang doktor dan jururawat berdiri berdekatan katil.

“ Ini ibu kamu?” seorang doktor cina memulakan bicara.

Zahir hanya mengagguk. Lidahnya terasa berat untuk menuturkan kata.

“ Tahap gula ibu awak terlalu tinggi sampai 39. Kami sudah periksa keadaanya, dan melalui tanda-tanda seperti demam dan jari kakinya yang sudah biru, ibu awak menghidap diabetis mengnitus. Sekarang ini, jari kaki yang biru itu sebenarnya sudah mati. Kita perlu buang jari itu sebelum ianya berjangkit ke bahagian lain.”

Zahir sudah redha untuk itu. Tidak mengapalah hanya jari yang dibuang asalkan ibunya selamat. Tetapi pagi ini, belumpun ibunya sedar, doktor sudah awal-awal mahu berjumpa dengan Zahir. Ternyata khabar kali ini lebih menduka citakan. Jangkitan di kaki ibunya terlalu cepat merebak. Selepas pemeriksaan pagi tadi, ibu jari kaki dan anak jari pula sudah membiru. “Lebih baik kita buang sehingga ke paras bawah lutut. Jangkitan ini kalau tidak dikawal boleh merebak hingga ke jantung,” jelas doktor. Zahir hanya diam terpana.

Sampai waktu melawat, Zahir melihat ibunya sudah bangun. Wajah ibunya bersih dan tenang. Orang tua itu senyum melihat anaknya. Selepas bersalaman, Zahir pura-pura sibuk menyusun baju ibunya . Hatinya terlalu sayu hingga dia tidak mampu menatap wajah tua itu.

“Zahir, ibu sudah tahu, bisik ibunya perlahan. Doktor sudah beritahu semuanya pada ibu. Tak mengapalah Zahir, Ibu sudah redha. Kaki ibu ini dah lama Allah pinjamkan, sudah banyak berbakti pada ibu, pada kamu dan keluarga kita. Tak mengapalah kalau Allah sudah mengaturkan begitu. Salah ibu juga kerana tidak ambil berat tentang hal kesihatan.”

Zahir yang ketika itu sedang menyusun baju ibunya di rak kecil bersebelahan katil hanya mampu menekup wajahnya dengan kain batik yang dipegang. Air matanya mengalir laju. Kalaulah dia lebih peka, pasti keadaan tidak seteruk ini. Zahir sedaya upaya menahan sedunya. Dia tidak mahu ibunya tahu dia menangis. Di dalam hati Zahir bersoal tanya mengapa Allah menguji insan sebaik ibunya seperti itu.

Zahir masih duduk bersebelahan ibunya. Sudah dua jam pembedahan berakhir.. Doktor yang berjumpa dengannya sebentar tadi kelihatan gembira kerana pembedahan berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi. Lusa ibunya sudah boleh pulang ke rumah. Zahir sudah sediakan semuanya untuk ibu. Kerusi roda sudah dibelikan, katil sudah diubah ke ruang tamu, biar dia boleh tidur dilantai menemankan ibunya. Biar kalau ibunya bosan boleh menonton ceramah di televisyen.

Beberapa hari sudah berlalu, Zahir tetap bersungguh-sungguh menjaga ibu. Dialah yang menggendong ibunya ke tandas, membasuh kain baju, memasak dan mengemas rumah. Waktu rehat tengahari, Zahir pulang sebentar dari tempat kerja ke rumah untuk melihat-lihat keadaan ibunya. Panas terik matahari sepanjang perjalanan pulang menaiki motosikalnya tidak dihiraukan. Kadang-kadang seharian Zahir tidak makan kerana sibuk menguruskan kerja dan ibunya.

Malam itu, selepas solat Isyak berjemaah dengan ibunya, Zahir duduk-duduk bermalasan di sofa. Dua beranak itu sibuk berbual-bual kosong. Televisyen dipasangkan. Serentak dengan itu, disiarkan siaran ulangan tarikh pegumumam puasa. Masing- masing tekun mendengar.

“ Ibu, esok sudah mula puasa!” Zahir melaung pada ibunya. Zahir nampak ibunya mengelap-ngelap matanya.

“Alhamdulilah, masih ada rezeki ibu bertemu Ramadhan tahun ini,” bicara ibunya sayu.

“Alhamdulilah ibu,” balas Zahir.

Jam 3.30 pagi, Zahir sudah siap-siap di tikar sejadah. Ibunya masih lena, mungkin kerana kesan ubat yang ditelan sebelum tidur menyebabkan dia nyenyak tidur. Selesai solat sunat tahajud, Zahir mengangkat tangan berdoa. Ternyata selepas musibah yang menimpa, setiap sujud, zikir dan doanya terasa lebih manis dan khusyuk.

Selesai bermunajat, Zahir bingkas ke dapur untuk memasak. Tahun-tahun sebelumnya, ibunyalah yang sibuk di dapur menyiapkan makanan untuk bersahur. Tetapi untuk tahun ini dan kehadapan biarlah dia pula yang bersusah-susah untuk ibunya. Jam 5 pagi, makanan sudah siap dihidangkan di atas meja. Zahir mengejutkan ibunya. Wanita tua itu masih terpana-pana.

“Ibu, mari sahur, sudah jam 5 pagi, nanti masuk waktu subuh sudah tidak sempat pula bersahur.” Zahir mengangkat ibunya ke kerusi roda.

“Ibu tak sempat nak masak apa-apa Zahir, ibu tidur nyenyak sangat tadi.”Ibunya terasa sedikit bersalah.

“Ibu, Zahir sudah masak, nasi goreng dengan telur mata. Itu sajalah yang Zahir tahu masak.” Jelas Zahir sambil menggaru-garu kepala. Zahir menyorong ibunya ke dapur. Ibu hanya mampu tersenyum apabila melihat makanan sudah terhidang di atas meja.

“Alhamdulilah, baik anak ibu. Ibu doakan Zahir jadi anak yang soleh, dapat jodoh yang baik nanti, dan dapat masuk syuga Allah.”

Zahir tersenyum lebar. Hatinya mengaminkan doa ibunya itu. Ternyata Ramadhan kali ini lebih bermakna buat dirinya. Dia bersyukur diberi peluang berbakti pada ibu di hujung usia tuanya. Tenyata disebalik ujian yang menimpanya terselit kemanisan yang tidak terungkap.Terima kasih Allah, hanya kalimat itu yang tidak henti-henti bertandang di hati kecil Zahir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini