Rajah sumbang idea baharu bidang akademik - Utusan Malaysia

Rajah sumbang idea baharu bidang akademik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERISTIWA hitam yang berlaku ketika beliau berusia enam tahun masih tersemat rapi dalam ingatan Prof. Ulung Dr. Rajah Rasiah, 61.

Manakan tidak, kejadian tersebut menyebabkan mata kanannya buta. Ia berlaku apabila salah seorang rakan sepermainannya di kawasan rumah tercucuk pisau ke mata kanannya secara tidak sengaja.

Tusukan sedalam hampir lima sentimeter itu menyebabkannya menanggung kesakitan dan pendarahan teruk.

Rentetan itu, beliau terlantar di Hospital Ipoh, Perak selama lapan bulan sebelum doktor mengesahkan mata kanannya buta.

Ia disebabkan saraf optik yang menghubungkan antara mata dengan otaknya cedera teruk dan menunggu masa terputus.

Situasi ini memaksa Rajah melupakan hasrat untuk mendaftar masuk ke darjah satu di Horley Methodist Primary School, Teluk Intan.

“Peristiwa itu berlaku beberapa hari sebelum saya masuk ke sekolah rendah. Saya sangat terkesan dengan kejadian itu,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di pejabatnya di Universiti Malaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Anak ke-10 daripada 13 beradik itu masuk ke sekolah sewaktu darjah dua. Dalam kelas, beliau tidak dapat menumpukan perhatian kepada pembelajaran.

Sepanjang masa, beliau terpaksa tunduk ke bawah meja bagi mengurangkan cahaya matahari masuk ke dalam mata sekali gus menghindarkan rasa sakit.

Situasi ini menyebabkan lelaki tinggi lampai itu tidak mampu membaca, menulis dan mengira selain ditempatkan di kelas terakhir.

Ia berlarutan sehingga darjah empat sebelum salah seorang abangnya terpanggil untuk mengajar Rajah membaca dan menulis di rumah.

Tambahan pula, rasa sakit pada matanya apabila melihat cahaya matahari kian berkurangan.

Keadaan itu memberi ruang kepadanya menelaah buku pelajaran sehingga berjaya masuk ke kelas depan sewaktu tingkatan empat.

“Bapa (G. Rasiah) selalu berpesan, hanya ilmu pengetahuan dapat mengubah nasib dan masa depan saya,” ujar Rajah sambil merenung keluar jendela pejabatnya.

Pesanan yang diberikan oleh bapanya itu berjaya memacu Rajah mencapai kejayaan tertinggi dalam bidang akademik.

Baru-baru ini, anak kelahiran Kuala Klawang, Negeri Sembilan itu telah dinobatkan sebagai Profesor Ulung Negara (Profesor Gred Khas Tertinggi Turus) 2017.

Penganugerahan tersebut merupakan hadiah kerajaan bagi meraikan sumbangan dan ketokohan pengamal pendidikan tinggi di negara ini.

Rajah yang tidak asing dalam bidang ekonomi di negara ini, banyak menyumbang idea baharu terutama dalam bidang pengeluaran elektronik, automotif dan tekstil di negara ini.

Penganugerahan itu menjadikan Rajah tokoh akademik kelima dilantik sebagai Profesor Ulung Negara, sekali gus membawa pulang geran penyelidikan bernilai RM300,000, sijil dan trofi.

Menurut Rajah, kejayaan diraih itu tidak datang bergolek, sebaliknya beliau terpaksa menempuh pelbagai cabaran.

Beliau dilahirkan dalam keluarga serba kekurangan memandangkan bapanya, Rasiah berkhidmat sebagai pemandu ambulans di Hospital Teluk Intan. Ibunya, N. Subaletchumi merupakan suri rumah sepenuh masa.

Sewaktu sekolah menengah, Rajah terpaksa membahagi masa antara mengulang kaji pelajaran dengan bekerja.

Cinta ilmu

Beliau terpaksa bekerja sebagai guru kelas tambahan di kampungnya bagi meringankan beban kewangan keluarga.

“Walaupun ketika itu saya di tingkatan empat, namun saya menjadi guru kepada pelajar tingkatan lima.

“Saya mengajar dua subjek iaitu Matematik dan Geografi. Pendapatan yang diperoleh cukup untuk perbelanjaan saya ke sekolah,” imbaunya.

Memasuki tingkatan enam, kesihatan bapanya semakin merosot sehingga tidak mampu untuk pergi bekerja. Ini memaksa Rajah berhenti sekolah dan bekerja sebagai buruh kasar.

Disebabkan rasa cinta mendalam terhadap ilmu, beliau mendaftarkan diri untuk menduduki Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) pada tahun 1981. Beliau terpaksa membahagikan masa antara bekerja dengan belajar.

Keputusan STPM yang diperoleh melayakkannya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada tahun 1983.

Ketika menuntut dalam jurusan Dasar Sains Kemasyarakatan, bakat akademik yang ada pada Rajah telah dikesan oleh Tan Sri Dr. Kamal Salih yang merupakan pensyarahnya.

“Kamal beritahu, saya mempunyai bakat besar menjadi seorang pemikir. Beliau banyak menasihati saya untuk mencapai impian itu.

“Kamal juga merupakan idola saya dalam akademik. Saya melihat beliau seorang yang pintar dan kuat membaca,” katanya.

Hidup susah

USM juga menjadi saksi pertemuan Rajah dengan salah seorang rakan karibnya yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Beliau memaklumkan, Idris merupakan kawan karib yang sentiasa ada ketika beliau berada dalam kesusahan.

“Idris ada motosikal sewaktu belajar dahulu. Jadi, beliau selalu bawa saya keluar makan dan bersiar-siar.

“Kadang-kadang saya tiada duit, beliau yang belanja saya makan,” kenangnya sambil tersenyum.

Rajah berada di USM sehingga tahun 1988 selepas berjaya mendapatkan lulus di peringkat sarjana.

Uniknya, beliau berjaya menyiapkan tesis sarjananya dalam tempoh lapan bulan, meskipun masa sebenarnya adalah dua tahun.

Masa terluang itu dimanfaatkan oleh Rajah untuk membantu keluarga di kampung dengan berkhidmat sebagai tutor di USM.

“Saya terpaksa tunggu lebih setahun untuk dapat sijil sarjana sebelum layak memohon biasiswa daripada British Council.

“Saya berjaya mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ijazah doktor falsafah (PhD) dalam jurusan Ekonomi di Universiti Cambridge, Britain sekitar tahun 1989,” jelasnya.

Sebelum berangkat ke Britain, Rajah terlebih dulu berkahwin dengan gadis pilihannya, Krishna Kumari, 54, yang ketika itu berkhidmat sebagai peguam.

Tawaran lumayan

Rajah memilih untuk membawa isterinya bersama tinggal di Britain sepanjang pengajian selama tiga tahun.

Hasil perkongsian hidup dengan Krishna, Rajah dikurniakan dua cahaya mata, Dayata Priya, 25, dan Dharmin Kumar, 23.

“Isteri dan anak-anak merupakan sumber inspirasi saya untuk menyiapkan PhD dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Semasa di Eropah, beliau menerima tawaran lumayan sebagai pensyarah daripada beberapa buah universiti terkemuka.

Bagaimanapun, Rajah memilih untuk kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor pada tahun 1993.

Selepas beberapa tahun, beliau dipindahkan ke Universiti Malaya.

“Saya pilih balik Malaysia kerana semangat nasionalisme yang menebal dalam diri ini.

“Semangat itu membakar semangat saya untuk menabur bakti kepada anak bangsa dan negara,” katanya yang mempunyai hobi bermain badminton.

Walaupun berkhidmat sebagai pensyarah, namun Rajah turut menyumbang idea, konsep inovasi dan keupayaan teknologi dalam pembentukan dasar pembangunan negara.

Sehingga kini, beliau telah berjaya melahirkan lebih daripada 30 graduan PhD yang antaranya merupakan profesor di universiti tempatan dan peneraju syarikat swasta.

Rajah turut menerima undangan ucap tama dan syarahan umum di universiti terkemuka seperti Universiti Oxford, Universiti Cambridge dan Universiti College London.

Mengulas mengenai Anugerah Profesor Ulung, Rajah memaklumkan, ia menjadi pembakar semangat untuknya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat dan negara.

Beliau bercadang untuk menambah baik beberapa aspek dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara agar lebih memberi impak kepada pembangunan negara.

“Geran RM300,000 yang diperoleh hasil kemenangan ini, saya bercadang untuk menerbitkan buku ilmiah.

“Saya juga berhasrat untuk melakukan satu penyelidikan untuk meningkatkan keberkesanan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×