JOHOR BAHRU 15 Mei – Sempena sambutan Hari Buruh dan Hari Jururawat Sedunia baru-baru ini, Jabatan Kejururawatan KPJ Johor mengambil inisiatif menganjurkan Program Jelajah Kesihatan yang menyasarkan penumpang-penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Stesen JB Sentral ke Stesen Kereta Api Kluang.
Ketua Pegawai Jururawat, Nur Yasmin Jennifer Abdullah berkata, program yang julung-julung kali diadakan itu bertujuan memberi ruang yang lebih luas kepada jururawat untuk mendekati masyarakat, selain membentuk kemahiran kesukarelaan serta melatih jururawat berfikiran lebih kreatif.
Katanya, dianggarkan seramai 50 hingga 100 penumpang dipilih dalam program itu bagi mengisi masa perjalanan mereka yang terluang dengan pendidikan kesihatan mengkhususkan pada teknik pencucian tangan yang betul, teknik rawatan pertolongan cemas (CPR) dan pemeriksaan payu dara sendiri, selain mengedarkan bahan-bahan pendidikan seperti risalah.
“Khidmat jururawat tiada had dan batasnya. Walaupun 1 Mei adalah cuti umum sempena Hari Buruh, namun kami mengambil peluang tersebut untuk berkhidmat menyampaikan ilmu kesihatan kepada masyarakat.
“Kami berharap program ini dapat menyediakan orang awam dengan pengetahuan, sikap dan kesefahaman yang bersesuaian agar mereka dapat memainkan peranan secara aktif dalam menguruskan kesihatan diri, mencegah daripada berlakunya komplikasi penyakit serta langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku kes kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, seorang penumpang, Nur Hidayah Fadzil, 34, berkata, program terbabit memberikan kesedaran kepadanya supaya tidak panik jika berlaku kes kecemasan dan secara tidak langsung meluaskan lagi pemahamannya mengenai penjagaan kesihatan diri.
“Tahniah kepada Jabatan Kejururawatan KPJ Johor kerana berjaya menganjurkan program seumpama ini. Sebagai seorang pengasuh bayi, saya memperoleh ilmu teknik rawatan pertolongan cemas (CPR) tentang bagaimana cara untuk menangani situasi kecemasan jika berlakunya kes bayi tersedak serta langkah pencucian tangan yang betul,” katanya.
Seorang lagi penumpang, Fizlina Edzwin, 16 pula berkata, selepas diberi penerangan, dia kini sedar kepentingan pemeriksaan payu dara sendiri.
“Selama ini saya kurang peka dan tidak pernah mengambil kisah untuk memeriksa payu dara sendiri kerana faktor umur yang masih muda.
“Namun, setelah mendengar taklimat yang diberikan oleh jururawat tentang teknik dan risiko, saya semakin sedar betapa pentingnya melakukan pemeriksaan awal payu dara sendiri bagi mengenal pasti serta mencegah tanda-tanda awal kanser payu dara,” katanya.










