BANGKOK 23 Mei – Kegagalan Malaysia memenuhi sasaran suku akhir Piala Uber mengecewakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), namun prestasi positif yang dipamerkan pemain perseorangan bakal membuka lembaran baharu buat badminton wanita negara.
Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, peningkatan yang ditunjukkan oleh Soniia Cheah, Goh Jin Wei, Lee Ying Ying serta S. Kosina bakal membolehkan mereka menerima lebih banyak pendedahan pada masa akan datang.
Acara perseorangan menyumbang dua mata ketika Malaysia tewas 2-3 kepada Indonesia dalam aksi pembukaan Kumpulan D menerusi Soniia dan Kosina, manakala Jin Wei mengejutkan pemain No. 8 dunia He Bingjiao 21-9, 17-21, 21-13 ketika tewas 1-4 kepada China.
“Kita boleh nampak peningkatan Soniia dan Jin Wei, selain kemunculan pemain baharu seperti Kisona dan Lee Ying Ying.
“Saya sudah bincang dengan (Datuk) Tey Seu Bock (jurulatih perseorangan wanita), kami akan beri mereka lebih pendedahan dan kuatkan lagi karakter, fizikal serta tahap kecergasan.
“Namun saya begitu kecewa dengan beregu wanita, walaupun saya fikir saya perlu bersikap adil kepada mereka kerana Vivian (Hoo) mengalami kecederaan dan (Lee) Meng Yean baru kembali daripada kecederaan.
“Apa pun, hakikatnya di sini, mereka melakukan eksperimen yang membuatkan saya bimbang. Secara peribadi, saya lebih suka melihat satu beregu tetap seperti Meng Yean dan Chow Mei Kuan diturunkan (dalam dua perlawanan pertama) berbanding semua beregu dibuli oleh Indonesia dan China.
“Saya juga agak kecewa dengan Vivian dan Mei Kuan kerana mereka patut menunjukkan kepimpinan ketika menentang Indonesia dan China. Mereka patut boleh menyumbang sekurang-kurangnya satu mata,” kata Mohamad Norza.
Vivian, 28, yang digandingkan dengan Mei Kuan ketika menentang Indonesia dan China tewas dalam kedua-dua perlawanan. Pasangan ini kemudian dipecahkan ketika bertemu Perancis sebelum mengutip mata pertama masing-masing.
Malaysia menutup kempen Piala Uber dengan mencatat kemenangan saguhati hari ini apabila menewaskan pendatang baharu, Perancis 5-0 untuk menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan D di belakang China dan Indonesia.
Jin Wei yang diturunkan sebagai perseorangan pertama beraksi cemerlang apabila hanya memerlukan 20 minit ketika mengutip mata pertama dengan mengalahkan Yaelle Hoyaux 21-7, 21-0.
Mei Kuan-Meng Yeah menjadikan kedudukan 2-0 dengan mengalahkan Emilie Lefel-Anne Tran 21-14, 21-17, sebelum Ying Ying berhempas pulas menundukkan Marie Batomene 15-21, 21-16, 21-11.
Dua lagi mata Malaysia disumbangkan oleh Vivian-Tee Jing Yi yang menewaskan Delphine Delrue-Lea Palermo 21-13, 15-21, 28-26, manakala Kisona menang 17-21, 21-14, 21-9 ke atas Katia Normand.
Kejayaan mara ke suku akhir 2010 kekal sebagai pencapaian terbaik Malaysia dalam Piala Uber. – UTUSAN










