SHAH ALAM – Polis berjaya menumpaskan empat geng curi motosikal selepas memberkas 39 individu termasuk seorang wanita berusia 28 tahun di sekitar ditahan di sekitar daerah ini baru-baru ini.
Kesemua suspek berusia 17 hingga 35 tahun yang menganggotai Geng Mat Ropie, Geng Tutuk Jeram, Geng Sayuti dan Geng Babang ditahan menerusi Ops Lejang antara Mac dan April lalu.
Sebahagian daripada yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau curi motosikal dan juga penyalahgunaan dadah Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, hasil penangkapan itu turut membawa rampasan 23 buah motosikal pelbagai model antaranya Honda EX5, Yamaha LC dan Yamaha Lagenda.
Katanya, turut dirampas lima buah rangka, 12 enjin, beberapa komponen motosikal ddan peralatan untuk mengubahsuai nombor pendaftaran enjin dan casis kenderaan yang dicuri.
“Kumpulan ini dipercayai aktif sejak pertengahan tahun lalu dan mereka meyasarkan motosikal di kawasan Flat PKNS Seksyen 7 dan kawasan sekitar Taman Sri Muda di sini.
“Mereka mencuri motosikal secara dua orang sebelum menjualnya ke pelanggan menerusi pasaran gelap dengan harga yang jauh lebih murah,”katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Baharudin berkata, pihaknya percaya dengan tertumpasnya empat geng berkenaan berjaya menyelesaikan 30 kes curi motosikal.
Beliau turut memberitahu, 13 daripada suspek yang ditahan telah didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri motosikal, Seksyen 411 KK, Seksyen 414 KK dan Seksyen 29(1) KK.
“Tujuh lagi diambil tindakan dibawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) manakala selebihnya masih dalam siasatan,”katanya.
Baharudin berkata, jenayah curi motosikal dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini merekodkan peningkatan sebanyak 50 kes iaitu 342 berbanding tahun lalu sebanyak 292 kes.
Sehubungan itu, katanya, dalam usaha menurunkan kadar jenayah indeks di Shah Alam, pihaknya memberi fokus ke arah memerangi curi kenderaan khususnya curi motosikal kerana ia merupakan penyumbang utama jenayah indeks. – K! ONLINE











