Polis temui wang tunai, barangan berharga di rumah Najib - Utusan Malaysia

Polis temui wang tunai, barangan berharga di rumah Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis telah merampas 284 kotak dan 72 bagasi berisi pelbagai barangan berharga termasuk wang tunai dalam satu serbuan di kediaman peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pavilion Residences, Bukit Bintang di sini semalam bagi siasatan kes 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Tinjauan wartawan Kosmo! di lokasi mendapati terdapat lima trak polis  mula sampai pada pukul 11.40 malam bagi memuatkan barangan yang dirampas.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, pemeriksaan dijalankan di enam premis iaitu Pejabat Perdana Menteri, Kompleks Seri Perdana manakala tiga premis di Pavilion Residences dan satu lagi kediaman peribadinya di Jalan Langgak Duta.

“Kesemua kotak dan bagasi tersebut mengandungi wang tunai mata wang Ringgit Malaysia dan Dolar Amerika Syarikat, beg tangan berjenama seperti Hermes dan Birkin, barang kemas, jam tangan serta pelbagai barangan berharga lain.

“Jumlah keseluruhan barangan yang diambil tidak dapat diberikan kerana kami masih belum selesai membuat pengiraan dan kita akan mulakan pengiraan pada esok (hari ini) tetapi kita pasti jumlahnya besar,” katanya kepada pemberita di hadapan kediaman tersebut selepas selesai serbuan di sini awal pagi tadi.

Amar Singh menambah, mereka telah memeriksa tiga unit kediaman di bangunan tersebut yang didaftarkan di bawah nama seorang individu bergelar Tan Sri tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut tentang identitinya.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, tiada sebarang halangan kerana tiada sesiapa di dalam premis berkenaan dan kami juga telah mendapat kebenaran geledah daripada mahkamah.

“Bagi premis ini, pemeriksaan sudah berakhir tetapi bagi premis lain termasuk di Jalan Langgak Duta masih berjalan,” ujarnya.

Ketika ditanya jika polis turut menemui jongkong emas semasa serbuan tersebut, beliau enggan mengulas lanjut.

“Kita masih belum sahkan kesemua barangan yang kita ambil, jadi harap tiada sebarang andaian yang tidak benar.

“Apa yang pasti kesemua barangan yang diambil dipercayai boleh membantu siasatan kes 1MDB,” katanya.

Ketika ditanya samada mereka sudah mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa Najib, Amar berkata ia akan dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara.

“Kami juga menjalankan pemeriksaan secara profesional jadi dakwaan peguam Najib bahawa ia menganggu ketenteraman awam adalah tidak benar,” katanya ketika mengulas tentang dakwaan peguam Najib bahawa mereka melakukan serbuan pada waktu yang tidak sesuai di rumahnya di Langgak Duta kelmarin.

Pemeriksaan yang bermula pada pukul 12.15 malam itu mengambil masa satu jam 45 minit dan berakhir pada pukul 2 pagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×