KUALA LUMPUR – Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak percaya dengan gambar pengiraan wang dan barangan rampasan membabitkan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang tersebar di laman sosial dan media cetak beberapa hari lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh pada sidang akhbarnya hari ini menyangkal beberapa maklumat yang tular membabitkan siasatan berkenaan.
“Saya ingin menyangkal maklumat tular berhubung jumlah wang dan barang kemas yang dirampas.
“Ini termasuk jumlah pengiraan wang yang dirampas, perkara itu adalah palsu dan tidak benar sama sekali,” katanya.
Katanya, polis menjalankan siasatan secara profesional berhubung siasatan 1MDB termasuk pemeriksaan yang dijalankan di rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya. – Bernama











