Pistol milik Ahli Parlimen Serian 'hilang' ditemui semula - Utusan Malaysia

Pistol milik Ahli Parlimen Serian ‘hilang’ ditemui semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING – Seorang penyelia pengawal keselamatan terkejut apabila menemui sepucuk pistol yang ditinggalkan di sebuah tandas di sebuah pusat komersial di Wisma Saberkas di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner, Dennis Leong Soon Kuai berkata, panik dengan penemuan kira-kira pukul 8 malam itu, penyelia terbabit kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

Menurut beliau, sejurus menerima laporan berhubung penemuan sepucuk pistol tersebut, sepasukan anggota polis diarahkan ke Wisma Saberkas untuk melakukan pemeriksaan dan siasatan lanjut.

“Sebaik tiba, anggota polis menemui sepucuk pistol jenis Smith & Wesson ditinggalkan di sebuah tandas di pusat komersial berkenaan.

“Pihak polis kemudian mengambil senjata api tersebut untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Dennis memberitahu, siasatan lanjut mendapati pistol yang ditemui itu adalah milik Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Katanya, pihak polis telah menerima satu laporan daripada Richard Riot berhubung kehilangan pistol itu di Balai Polis Sentral di sini pada pukul 10.40 pagi.

“Buat masa ini, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 35 Akta Senjata Api 1960,” katanya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×