KUALA LUMPUR 9 Mei – Industri perbankan Malaysia berada di landasan tepat untuk merekodkan pertumbuhan pinjaman sebanyak lima peratus berbanding pertumbuhan tahunan sebanyak 4.8 peratus pada tahun lalu.
Menurut AmInvestment Bank, unjuran itu seiring dengan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar Malaysia berkembang antara lima dan 5.5 peratus pada 2018 didorong oleh permintaan domestik.
Katanya, Mac lalu menyaksikan peningkatan dalam pertumbuhan permohonan pinjaman industri kepada 0.02 peratus tahun ke tahun berbanding -5.8 peratus pada Februari 2018.
“Pertumbuhan permohonan pinjaman bukan isi rumah meningkat kepada 11.4 peratus tahun ke tahun pada Mac 2018 berbanding -7.2 peratus pada Februari.
“Bagaimanapun, pertumbuhan permohonan pinjaman rumah semakin susut kepada -8.1 peratus tahun ke tahun,” katanya dalam nota penyelidikan di sini hari ini.
Pertumbuhan pinjaman sektor perbankan pula menurun kepada 4.4 peratus tahun ke tahun pada Mac 2018 dari 4.5 peratus pada Februari lalu.
AmInvestment Bank berkata, ia disumbangkan oleh pertumbuhan pinjaman bukan isi rumah yang lebih perlahan sementara pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal stabil.
“Dalam pada itu, dana bersih terkumpul yang diperoleh dalam pasaran oleh sektor swasta bernilai RM20.4 bilion bagi tempoh tiga bulan pertama 2018, berbanding RM23.9 bilion dalam tempoh sama pada 2017,” katanya.
Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd. mendapati kadar kelulusan pinjaman berkurang sebanyak 7.6 peratus tahun ke tahun pada Mac lalu.
Jelas firma penyelidikan itu, buat pertama kali dalam tempoh 18 bulan, permohonan pinjaman gadai janji menguncup sebanyak 1.2 peratus tahun ke tahun.
“Permohonan pinjaman automotif juga jatuh lima peratus tahun ke tahun untuk bulan keenam berturut-turut.
“Permohonan pinjaman hartanah komersial terus meningkat, tetapi kadar kelulusan purata menurun kepada 29 peratus pada Mac,” katanya.










