BAGHDAD 12 Mei – Kira-kira 24.5 juta rakyat Iraq keluar mengundi pada pilihan raya Parlimen hari ini sejak mengisytiharkan kemenangan ke atas kumpulan pengganas Daesh.
Sebanyak 8,959 pusat pengundian dibuka di 18 wilayah seluruh negara.
Menurut pihak berkuasa, hampir 11 juta kad pengenalan biometrik sudah diedarkan bagi mengenal pasti identiti pengundi.
Seramai 285,564 pelarian dibenarkan untuk mengundi di 166 pusat pengundian yang disediakan di 70 kem.
Sementara itu, beberapa pengundi menyuarakan keraguan mereka bahawa Parlimen baharu mampu menangani cabaran yang dihadapi oleh Iraq.
“Saya akan keluar mengundi, tetapi mahu merosakkan kertas undi. Tiada jaminan keselamatan, pekerjaan dan perkhidmatan. Calon hanya mahu ‘memenuhkan’ poket mereka sendiri, bukan ingin membantu rakyat,” kata seorang penjual daging berusia 61 tahun, Jamal Mowasawi.
Penyandang jawatan Perdana Menteri, Haider al-Abadi dijangka berada di hadapan calon-calon lain, tetapi kemenangannya belum dapat dipastikan.
Beliau ditentang dua pencabarnya iaitu bekas Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki dan komander militia Syiah disokong Iran, Hadi al-Amiri.
Haider sebelum ini dilihat oleh rakyat Iraq sebagai tidak efisien dalam menjalankan tugasnya, tetapi beliau membuktikan kemampuan dengan membebaskan negara ini daripada penguasaan Daesh.
Bagaimanapun, Haider bukanlah seorang yang berkarisma dan gagal memperbaiki kedudukan ekonomi Iraq.
Beliau juga tidak boleh bergantung penuh daripada undian oleh kumpulan penyokong tetapi sebaliknya, cuba menarik sokongan kumpulan lain.
Walaupun parti pakatan pimpinan Haider memenangi majoriti kerusi, beliau masih perlu mengadakan rundingan berkaitan pembentukan kerajaan campuran, yang mesti diselesaikan dalam tempoh 90 hari selepas pilihan raya diadakan.
“Wajah dan program yang sama. Haider merupakan yang terbaik antara yang terburuk, sekurang-kurangnya di bawah pemerintahannya, kami berjaya membebaskan diri daripada Daesh,” kata penjual ikan, Hazem al-Hassan.
Lebih 7,000 calon bertanding merebut 329 kerusi Parlimen pada pilihan raya kali ini. – REUTERS










