SKIL menembak merupakan kepakaran paling penting bagi anggota tentera selain aspek kekuatan fizikal dan mental untuk menghadapi musuh. Malah kemahiran tersebut diasah dari semasa ke semasa tanpa mengira unit atau kor serta perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Selaras dengan peranan 10 Briged Para sebagai Pasukan Atugerak Cepat (PAC), pasukan itu kini meningkatkan keupayaan anggota mereka menerusi pembinaan lapang sasar Para Integrated All Weather Multi Mission Shooting Range (PIAW) di Melaka.
Lapang sasar tersebut yang siap disempurnakan dalam satu majlis perasmian 15 Mei lalu mampu melaksanakan pelbagai latihan seperti latihan penembakan asas dan juga advance shooting.
Selain itu, PIAW juga mampu menampung 12 penembak dalam satu-satu masa dengan dilengkapi bullet trap, kemudahan pentadbiran logistik, tapak menembak berbumbung, kubu dan sistem pencahayaan bagi latihan menembak pada waktu malam.
Dalam pada itu, Panglima 10 Briged Para, Brigedier Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, PIAW akan digunakan secara optimum agar dapat dimanfaatkan ke arah peningkatan skil menembak warga pasukan itu.
“Selain itu, PIAW boleh dijadikan sebagai tempat pemimpin melatih aspek asuhan kemahiran menembak, seterusnya meningkatkan tahap kemahiran 10 Briged Para kepada 50 peratus kelas 1 dan ke atas,” katanya baru-baru ini.
Cadangan pembinaan dan nama lapang sasar ini telah diilhamkan sendiri oleh Panglima 10 Briged Para dan turut dibantu oleh Kompeni Pandu Arah Udara (Pandura) serta 10 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Para.
PIAW asalnya adalah lapang sasar 25 meter yang terletak di 10 RAJD Para dan diubah suai menjadi lapang sasar 50 meter yang berupaya digunakan untuk latihan menembak asas dan juga untuk advance shooting.
Sementara itu, pada majlis yang sama, turut diadakan Hari Pengajian Pegawai dan Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) 10 Briged Para dengan disertai 65 pegawai dan 120 anggota PTTK merangkumi Prinsip Kejaguhan, tembakan Bore Adjusment pada jarak 25 meter (m) dan 50 m, serta demonstrasi tembak pada jarak 50 m menggunakan simulasi 100, 200 dan 300 m.
Turut dilaksanakan adalah latihan menembak dari dalam kubu, kemahiran pengendalian senjata, pertempuran rapat, strong and weak hand shooting, awareness shooting and barricade shooting technique.










