BANGKOK 21 Mei – Goh V Shem-Tan Wee Kiong mempunyai satu permintaan istimewa sempena ulang tahun mereka yang ke-29 iaitu membawa pulang kejuaraan Piala Thomas.
Wee Kiong memasuki gelanggang pada hari ulang tahun kelahirannya hari ini, iaitu sehari selepas V Shem menyambut hari jadinya semalam.
Beregu perak Sukan Olimpik itu berjaya menunjukkan prestasi meyakinkan ketika mengalahkan pasangan No. 10 dunia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov 21-18, 21-19, sekali gus membantu Malaysia mengalahkan Rusia 5-0.
“Permintaan dan harapan kami pada ulang tahun kelahiran kali ini adalah menjuarai Piala Thomas,” kata Wee Kiong sambil disokong oleh V Shem.
Menurut Wee Kiong, walaupun cabaran tidak mudah dan perlu berdepan Denmark dalam aksi terakhir Kumpulan D, Rabu ini namun mereka bermain tanpa sebarang tekanan.
“Saya fikir Denmark sebagai juara bertahan lebih tertekan. Kita tidak perlu fikir banyak, berjuang sahaja dan berikan yang terbaik.
“Hari ini melihat aksi Denmark menentang Algeria, saya rasa mereka cuba menukar pasangan untuk bermain psikologi, tetapi semua itu tidak penting buat kami,” kata V Shem.
Ketiadaan beregu No. 2 dunia, Carsten Mogensen yang diketepikan akibat kecederaan, menyaksikan pasangannya, Mathias Boe digandingkan dengan Mathias Christiansen sebagai beregu pertama ketika menentang Algeria.
Gandingan ini menang 21-6, 21-11 ke atas Koceila Mammeri-Youcef Sabri Medel, manakala pasangan No. 5 dunia, Mads Conrad-Petersen-Mads Pieler Kolding yang turun sebagai beregu kedua mengalahkan Mohamed Abderrahime Belarbi-Adel Hamek 21-3, 21-5. – UTUSAN










