KUALA LUMPUR 9 Mei – Jaguh lari 110 meter berpagar negara Rayzam Shah Wan Sofian bakal berguru di Jerman pada minggu depan dalam usaha untuk mempersiapkan diri menghadapi Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang.
Rayzam berkata, dia akan menyertai lima kejohanan di Jerman untuk memperoleh lebih banyak pendedahan bagi memperbaiki prestasi semasanya.
Tambah Rayzam, sasaran peribadinya dalam Sukan Asia adalah untuk mendapatkan pingat gangsa kerana sedar persaingan sangat kompetitif dalam Sukan Asia yang akan berlangsung Ogos depan.
“Sasaran pingat gangsa dilihat lebih realistik kerana banyak jaguh hebat dunia seperti dari China, Jepun dan Kuwait.
“Jika dapat beraksi dalam Sukan Asia maka akan menjadi aksi pertama saya dan kerana itu saya akan berusaha untuk memastikan terpilih ke temasya berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Catatan peribadi terbaik Rayzam adalah 13.67 saat (s) dilakukan pada Mei lalu di Jerman.
Dalam pada itu, Rayzam turut memberitahu akan memanfaatkan penyertaan dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia pada 11 hingga 13 Mei ini sebagai medan menguji prestasi semasanya.
“Dalam kejohanan di Bukit Jalil nanti saya akan berusaha untuk melakukan catatan di bawah 14s.
“Persaingan dalam kejohanan tersebut juga amat penting bagi menilai tahap prestasi semasa saya sebelum ke Jerman,” katanya.










