Perkukuhkan kembali perpaduan selepas PRU-14 - Utusan Malaysia

Perkukuhkan kembali perpaduan selepas PRU-14

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI yang telah membuat analisis dan menulis mengenai keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) serta hala tuju kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan.

Bagi saya, rakyat telah pun menyatakan hasrat mereka melalui peti undi dan keputusannya sudah pun diterima oleh semua pihak atas prinsip mendukung semangat demokrasi berparlimen.

Rakyat kini boleh menarik nafas lega kerana PRU-14 berjalan dalam suasana aman. Semua pihak kini perlu memandang ke hadapan manakala mereka yang memenangi pilihan raya harus melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terbentuknya kerajaan baharu sudah pasti membawa harapan dan aspirasi baharu. Namun kita perlu memberikan masa untuk pentadbiran baru melaksanakannya.

Saya kira tidak terlambat untuk mengucapkan tahniah kepada Pakatan Harapan di atas kemenangan mereka dalam PRU-14 serta Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meng­angkat sumpah sebagai Perdana Menteri buat kali kedua selepas memegang jawatan yang sama pada 16 Julai 1981.

Tahniah juga diucapkan kepada semua pemimpin parti politik dan penyokong mereka yang lain kerana menerima keputusan PRU-14 dengan hati terbuka serta bersikap matang apabila rakyat telah membuat pilihan.

Saya percaya pilihan yang dibuat oleh rakyat bukan berdasarkan faktor kepentingan etnik dan agama masing-masing tetapi lebih kepada hasrat untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih baik.

Semoga Pakatan Harapan di bawah pimpinan Dr. Mahathir mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sokongan penuh rakyat dari pelbagai peringkat.

Sebagai seorang yang pernah menjadi wakil rakyat di kala Dr. Mahathir menerajui kerajaan, saya percaya ia mampu dilakukan seperti slogan Bersih, Cekap dan Amanah yang diperkenalkan beliau suatu ketika dahulu.

Walaupun saya bukan mewakili parti kerajaan pada ketika itu, saya masih boleh berurusan dengan beliau dan agensi kerajaan tanpa masalah demi menyelesaikan isu yang membelenggu rakyat.

Bergerak ke hadapan, saya amat berharap kedua-dua wakil rakyat dari pihak parti pemerintah dan pembangkang akan meneruskan tanggungjawab mereka dengan baik demi memastikan pembangunan dan keamanan negara dapat diteruskan melalui sistem check and balance (semak dan imbang) yang utuh.

Kedua-dua pihak perlu sentiasa berpegang teguh dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara selain mematuhi undang-undang.

Pada masa sama, kakitangan kerajaan pula perlu melaksanakan tanggungjawab dengan berkhidmat secara profesional dan memberikan sokongan penuh kepada kerajaan semasa.

Sokongan padu daripada jentera kerajaan amat penting demi memastikan kelicinan pentadbiran dan perkhidmatan yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

Ia juga mampu mengurangkan ketirisan yang menyebabkan kerajaan menanggung kerugian manakala golongan sasaran tidak mendapat faedah seperti yang dirancang.

Tidak dapat dinafikan bahawa kempen melampau oleh sesetengah pihak mungkin telah menyebabkan kerenggangan dalam persahabatan dan kekeluargaan sehingga ada yang tidak mahu bertegur sapa atau meninggalkan kumpulan WhatsApp dan sebagainya.

Saya berharap perkara ini tidak berterusan kerana kita sepatutnya mengekalkan kejiranan yang baik selain mengukuhkan keharmonian dan perpaduan antara kaum dan meletakkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan mengatasi semua perkara termasuk politik.

Tidak kira parti politik mana yang disokong, kita harus kembali memperkukuhkan perpaduan kerana kita berkongsi harapan, mimpi dan matlamat yang sama di negara yang kita kongsi bersama.

Tugas paling mendesak untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan gabungan politik pada masa ini adalah untuk memastikan keharmonian kaum dan agama serta terus dipertahankan.

Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan patriotik, kita perlu melindungi keamanan dan keharmonian negara dengan mengelak daripada melakukan provokasi dan keganasan yang boleh menimbulkan konflik dan kekacauan.

Kita tidak boleh membiarkan keharmonian antara kaum diancam politik berlebihan kerana ia boleh menyebabkan pergolakan kaum akibat kurangnya persefahaman dan sikap saling menghormati.

Mereka yang dipilih untuk membentuk kerajaan perlu sentiasa ingat bahawa apa sahaja yang mereka lakukan tidak hanya akan memberi kesan kepada rakyat dan negara untuk tempoh lima tahun akan datang tetapi juga bakal menentukan nasib negara kita dan generasi akan datang.

Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang baru dipilih perlu mempertimbangkan kemungkinan untuk berkhidmat sepenuh masa bagi membalas jasa pengundi mereka.

Sebagai wakil rakyat yang di­pilih, mereka mesti memainkan peranan berganda iaitu sebagai penggubal undang-undang serta mereka yang berkhidmat untuk rakyat.

Selain menangani isu-isu negara di Parlimen, mereka juga perlu berkhidmat kepada pengundi dengan memberikan komitmen penuh kepada kawasan yang diwakili.

Untuk terus mendapatkan sokongan daripada pengundi dalam pilihan raya akan datang, parti politik dan wakil rakyat mereka perlu memberikan perkhidmatan dengan efektif, ikhlas, jujur, berdedikasi dan komited.

Pengundi akan sentiasa menilai prestasi mereka dan untung nasib parti akan ditentukan semula dalam pilihan raya akan datang.

Saya berharap ahli Parlimen dan ADUN yang baru dipilih juga dapat berkhidmat dengan penuh integriti kerana ia dapat membantu memerangi gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Ia selaras dengan penekanan yang dibuat oleh Perdana Menteri supaya kerajaan dan agensi-agensinya bebas daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam apa jua bentuk.

Kita semua terutamanya wakil rakyat yang baharu, perlu menunjukkan teladan yang baik dengan mengamalkan integriti dan menjadikannya cara hidup agar Malaysia bebas daripada rasuah dan pe­nyalahgunaan kuasa.

Kita tidak boleh bertolak ansur dalam perkara ini kerana rasuah dan penyalahgunaan kuasa merupakan punca kepada pelbagai masalah lain seperti perjudian, pelacuran dan kemasukan pendatang tanpa izin secara berleluasa.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah bekas Ahli Parlimen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN