Perkam didik generasi muda hargai khazanah alam - Utusan Malaysia

Perkam didik generasi muda hargai khazanah alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK dapat disangkal lagi, hutan merupakan khazanah alam yang amat tinggi nilainya.

Pemeliharaan dan pemuliharan hutan adalah aspek penting yang perlu ditekankan oleh setiap lapisan manusia yang berada di muka bumi ini.

Justeru, sempena Hari Bumi Sedunia yang disambut pada 22 April setiap tahun, Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (Perkam) telah mengadakan program Kembara Mesra Alam yang melibatkan seramai 110 orang murid sekolah rendah dan menengah di Ladang Perhutanan Penawar Hutan Sdn. Bhd., Behrang Ulu, Perak baru-baru ini.

Kawasan itu adalah ladang hutan milik persendirian yang berkeluasan kira-kira 80 hektar.

Pengarah Operasi Penawar Hutan Sdn. Bhd, Sheila Ramasamy berkata, berjuta-juta batang pokok ditanam di kawasan itu dan ia terdiri daripada 800 spesies pokok hutan kayu kertas yang kebanyakannya telah mencapai usia 20 tahun.

“Spesies-spesies pokok yang ditanam di sini dikumpulkan daripada hutan semula jadi di seluruh Malaysia.

“Antara pokok yang boleh didapati ialah gaharu, kempas, tualang dan meranti selain pelbagai pokok hutan yang sukar dijumpai serta hampir pupus,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Penawar Hutan Sdn. Bhd., baru-baru ini.

Sheila menambah, hutan buatan manusia itu diusahakan untuk memelihara dan memulihara spesies tumbuhan hutan yang mempunyai keistimewaan tersendiri, sama ada dalam perubatan tradisional atau ekonomi.

Pendedahan

Sementara itu, Presiden Perkam, Dr. S. Santharasekaran berkata, program yang dianjurkan sempena meraikan sambutan Hari Bumi Sedunia peringkat kebangsaan itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada murid-murid tentang kepentingan memelihara dan memulihara tumbuhan hutan supaya generasi akan datang lebih menghargai hutan semula jadi yang mengawal ekosistem alam agar ia tidak terjejas.

“Peserta telah didedahkan tentang spesies pokok kayu yang sukar dijumpai dan hampir pupus melalui aktiviti kembara alam, projek 3R (Reduce, Reuse dan Recycle), deklamasi sajak, persembahan nyanyian dan ceramah.

“Semasa melakukan aktiviti kembara alam yang memerlukan para peserta mencatatkan nama saintifik pokok-pokok yang ditanam di hutan ini, kebanyakan peserta teruja apabila mereka diberi peluang untuk mengenali pelbagai jenis spesies pokok yang belum pernah dilihat,” katanya.

Santharasekaran memberitahu, peserta yang juga ahli Perkam dianggap bertuah kerana mereka adalah kumpulan sulung yang diberi kebenaran untuk menjalankan aktiviti dan menerokai ladang tersebut.

Mengulas lanjut, Santharasekaran berkata, semangat cintakan hutan semula jadi dalam kalangan murid dan pelajar yang merupakan generasi pewaris khazanah alam di negara ini perlu dipupuk sejak di bangku sekolah supaya hutan semula jadi negara terus terpelihara pada masa hadapan.

Spesies pokok hutan bukan sahaja mempunyai banyak khasiat dan keistimewaan tetapi boleh mengawal ekosistem alam serta merupakan aset ekonomi.

Salah seorang peserta program, Nishok Nathan, 10, dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Sungkai berkata, dia berasa gembira kerana berpeluang mengikuti ibunya yang merupakan seorang guru pengiring menyertai program Kembara Mesra Alam.

“Saya berpeluang mengenali pelbagai jenis pokok dan mengetahui nama saintifik tumbuhan berkenaan.

“Setiap pokok mempunyai bentuk daun yang berbeza,” katanya.

Saintifik

Dalam pada itu, seorang peserta, Fatihah Umairah Mohd Rafful, 11, berkata, dia amat teruja apabila diberi peluang untuk menyentuh pelbagai jenis pokok yang kebanyakannya tidak pernah ditemui sebelum ini.

“Saya bangun seawal 5.50 pagi untuk menghadiri program ini dan sangat gembira apabila diberi peluang mengetahui pelbagai nama saintifik pokok hutan yang ditanam di kawasan ini.

“Saya berpeluang memeluk pokok dan pokok itu sejuk,” kata murid Sekolah Kebangsaan Taman Desa Dua, Rawang tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×