Perkahwinan itu adalah kemeriahan
Khabar gembira buat mempelai
Terenjis air mawar dan bunga rampai
Harumnya sebuah kehidupan
Diikat lafaz perkongsian
Dari restu kaum keluarga sanak semenda
Teriring doa ayah bonda
Berduyun tetamu yang sampai
Bersama mengalun lagu perkahwinan.
Perkahwinan itu adalah tuntutan
Adalah tanggungjawab
Bermulanya sebuah pelayaran
Terkembang layar perjuangan
Membenteng gelora dan badai
Menggulung ombak perubahan
Dari hakisan pantai keruntuhan
Menguji ketabahan dua insan
Berkongsi keseimbangan
Dari penerokaan panjang kasih sayang
Dan tanjung harapan
Kebahagiaan yang berkekalan
Membenam karang kebencian.
Perkahwinan itu adalah doa dan ibadat
Dilimpahi nikmat disyukuri rahmat
Dimurahkan rezeki dimakmurkan usia
Sihat sejahtera selamat dan bahagia
Amin.
Johari Jonet
Batu Pahat, Johor











