BUNNIK, Belanda 24 Mei – Para penyiasat antarabangsa yang menyiasat insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine tiga tahun lalu, mendedahkan bahawa peluru berpandu yang digunakan merupakan milik briged ketenteraan Rusia.
Pasukan Penyiasat Bersama, terdiri daripada pihak berkuasa dari Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine berkata, peluru berpandu BUK-TELAR itu milik Briged Misil antipesawat ke-53 yang berpangkalan di Kursk, Rusia.
“Briged ke-53 itu sebahagian daripada tentera bersenjata Rusia,” kata penyiasat Belanda, Wilbert Paulissen kepada wartawan sewaktu sidang media di Belanda.
Selain itu, para penyiasat meminta orang ramai untuk membantu siasatan mereka berhubung insiden itu.
Mereka akan memberikan maklumat terkini berkaitan hasil siasatan insiden tersebut tetapi tidak mendedahkan suspek.
Pada September 2016, pendakwa raya Belanda menyatakan 100 orang berkepentingan telah dikenal pasti sebagai suspek, manakala pegawai dari Australia dan Malaysia berharap agar suspek didedahkan kepada umum pada 2017. – REUTERS











