KEPALA BATAS 19 Mei – Seorang pelajar tingkatan tiga maut selepas digilis lori dalam kejadian di Jalan Kampung Selamat, Tasek Gelugor, di sini malam tadi.
Kejadian berkenaan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa, Wan Natasya Azwin Wan Asri bersama rakannya bergesel dengan lori berkenaan kira-kira pukul 10.15 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pemandu lori berusia 64 tahun itu bagaimanapun tidak menyedari kejadian berkenaan dan meneruskan pemanduan pulang ke rumahnya.
Katanya, dia hanya mengetahui kejadian berkenaan selepas dimaklumkan penduduk kampung dan membuat laporan polis selepas itu.
“Berdasarkan siasatan awal, motosikal telah bergesel di bahagian kiri lori berkenaan menyebabkan mangsa terjatuh dan digilis seterusnya mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Beliau memberitahu, pembonceng motosikal jenis Yamaha Ego Avanti itu yang berusia 15 tahun turut mengalami kecederaan pada bahagian lutut.
Katanya, mayat dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











