SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin bakal berdepan cabaran Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi untuk jawatan Presiden FAM dalam pemilihan Kongres FAM, Julai depan.
Ini kerana Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) telah mencalonkan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu bagi jawatan Presiden FAM selepas ditinggalkan mantannya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Naib Presiden PBNP, Datuk Akbar V.V Abu menerusi satu kenyataan semalam menyebut, PBNP telah mengemukakan pencalonan Azim bagi jawatan Presiden FAM untuk penggal 2018-2021 pada Kongres FAM ke-54 itu.
“Pencalonan Azim berdasarkan pengalaman yang luas dimiliki beliau dan diyakini dapat memikul amanah serta tanggungjawab sebagai Presiden FAM.
“Kepimpinan beliau juga akan membantu FAM mencapai matlamat ke arah kegemilangan bola sepak negara seperti yang disasarkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Hamidin telah menerima 18 daripada 20 pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden FAM.
Ia susulan cadangan Tunku Ismail yang mahu Hamidin dipilih menjadi Presiden FAM seterusnya selepas meninggalkan ‘kerusi panas’ pucuk kepimpinan tertinggi itu pada Mac lalu.
Sejak dilantik menjadi Setiausaha Agung FAM oleh mantan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah pada Jun 2013, Hamidin telah berkhidmat di bawah tiga presiden bermula Sultan Ahmad Shah, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tunku Ismail.
Zabidi pula masih segar dengan kejayaan memenangi jawatan Timbalan Presiden MOM setelah melakar kejutan menewaskan calon pilihan Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin apabila meraih 54 undi, manakala lawannya 43 undi.









