KUALA LUMPUR – Pasukan petugas khas yang baru ditubuhkan untuk menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan mengadakan mesyuarat pertamanya esok.
Hal ini disahkan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, yang mengetuai bersama pasukan petugas khas tersebut.
“Kami akan bermesyuarat esok. Kami akan bertemu dengan anda kemudian,” kata beliau kepada pemberita sebelum meninggalkan Ilham Tower di sini hari ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Siasatan 1MDB untuk menjalankan siasatan terperinci, pengesanan dan penyitaan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.
Pasukan petugas itu dianggotai oleh wakil dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia, dan beberapa orang peguam yang mempunyai kepakaran dalam perkara berkaitan.
Selain Gani, pasukan petugas itu diketuai bersama oleh bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas timbalan pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Abdul Hamid Bador dan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull. – Bernama










