KUALA LUMPUR 12 Mei – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan pelantikan sebuah pasukan khas yang terdiri daripada pakar-pakar untuk menasihati kerajaan dalam isu-isu ekonomi dan kewangan.
Menurut Perdana Menteri, pasukan tersebut akan membantu pembentukan dasar dan rancangan bagi mencapai janji 100 hari Pakatan Harapan kepada rakyat.
Kata beliau, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin akan mengetuai pasukan itu selain dianggotai bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz serta bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican.
Perdana Menteri turut menamakan ahli perniagaan terkenal, Tan Sri Robert Kuok dan ahli ekonomi ternama, Dr. Jomo Kwame Sundaram menganggotai pasukan itu.
Jelas Perdana Menteri, urusetia pasukan berkenaan diketuai ahli ekonomi, Dr. Muhammed Abdul Khalid selain memilih Tokoh Kewartawanan Negara, Datuk A. Kadir Jasin sebagai Ketua Media dan Komunikasi bagi Jawatankuasa Peralihan. – UTUSAN ONLINE










