KANGAR 15 Mei – Pas negeri mengakui telah ditawarkan oleh satu kumpulan wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) negeri ini untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan di Perlis.
Pesuruhjayanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd. Shukri Ramli berkata, beliau bersama ADUN Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim, ditawarkan untuk bersama kumpulan itu pada Khamis lalu.
Beliau walau bagaimanapun enggan menyatakan kumpulan tersebut dan lokasi berlakunya penawaran itu.
“Turut bersama saya (semasa tawaran) ialah tiga orang wakil rakyat daripada Pakatan Harapan (PH) iaitu ADUN Sena, Kuala Perlis dan Indera Kayangan, selain dua ADUN daripada BN.
“Saya hadir bersama Mohd. Ridzuan atas jemputan tetapi (ketika itu) tiada keputusan dicapai,” katanya ketika ditemui pada kenduri kesyukuran di rumahnya di Kuala Sungai Padang, dekat sini hari ini.
Difahamkan, mengikut Perlembagaan negeri, calon Menteri Besar mestilah dilantik dalam tempoh enam bulan selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) terakhir iaitu Disember tahun lalu.
Seorang calon Menteri Besar yang baharu mesti mengetuai persidangan DUN seterusnya iaitu awal Jun ini.
Mohd. Shukri seterusnya berkata, Pas negeri ini hanya akan bersetuju untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan tanpa wujudnya pembangkang.
Katanya, tindakan itu malah dipersetujui pucuk pimpinan tertinggi Pas dalam isu pembentukan kerajaan sama di Perak, baru-baru ini.
Tambah beliau, syarat lain pula Menteri Besar mestilah terdiri daripada orang Islam.
“Namun dalam hal di Perlis, wujudnya pembangkang iaitu sebahagian wakil rakyat yang kekal bersama BN, menyebabkan kita (Pas) tidak bersetuju (menerima tawaran).
“Kita mengambil kira sekiranya ini berlaku (kerajaan perpaduan dan pembangkang) mengakibatkan kerajaan negeri dibentuk tidak stabil dan sukar meneruskan tadbir urus yang baik,” jelasnya.
Sebelum ini, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan cadangan ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim sebagai calon Menteri Besar yang baharu.
Walau bagaimanapun, Datuk Seri Azlan Man yang menyandang jawatan berkenaan memberitahu, bahawa beliau tidak tahu menahu tentang perkara itu.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN negeri berkata, sebaliknya keputusan menentukan siapa Menteri Besar adalah hak mutlak Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. – UTUSAN ONLINE










