GENTING HIGHLANDS 19 Mei – Bagaikan dibawa jauh ke dasar laut untuk menikmati keasyikan muzik orkestra, begitulah perasaan para pengunjung di Sky Avenue, Resort World Genting yang dibawa menikmati persembahan animasi Ocean Groove with Maestro Ning di sini hari ini.
Pengunjung terutamanya kanak-kanak teruja menyaksikan gelagat watak hidupan laut seperti penyu, ikan paus dan kuda laut memainkan pelbagai jenis alat muzik orkestra yang dipancarkan melalui empat skrin LED setinggi empat tingkat di sekeliling pentas.
Naib Presiden Kanan Taman Tema, Resort World Genting, Brian Machamer berkata, persembahan selama enam hari bermula hari ini itu adalah keunikan terbaharu yang dibawa oleh Resort World Genting bagi memastikan pengunjung pusat peranginan tersebut terus terhibur.
Ocean Groove with Maestro Ning adalah contoh terbaik bagaimana kami komited memastikan pengunjung sentiasa disajikan dengan persembahan yang terkini dan moden.
Gabungan animasi grafik komputer dengan muzik dan keajaiban teknologi pasti akan memukau pengunjung yang hadir,” katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran persembahan tersebut di sini hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Urusan Genting Studios, Daniel Regis Brown dan pengurusan tertinggi Resort World Genting. – UTUSAN ONLINE











