Nurul Izzah bidas ahli keluarga Allahyarham Nik Aziz - Utusan Malaysia

Nurul Izzah bidas ahli keluarga Allahyarham Nik Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Mei – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar membidas ahli keluarga bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan mengingatkan mereka supaya tidak menjadikan politik sebagai alasan bagi menghalang penyebaran ilmu agama.

Kenyataan Nurul Izzah dikeluarkan berikutan pendedahan anak kedua bekas Menteri Besar itu, Nik Omar bahawa beliau dilarang daripada menjadi imam dan menyampaikan kuliah di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka berkuat kuasa hari ini.

“Jangan biar pegangan politik jadi penghalang untuk sebaran ilmu agama. Ustaz Nik Omar adalah tokoh yang sentiasa mengajak kepada kebaikan,” katanya dalam status di Twitter beliau hari ini.

Nik Omar mendedahkan larangan tersebut ketika menyampaikan kuliah pagi ini di hadapan kira-kira 100 hadirin di Wisma Tok Guru, Salor yang juga merupakan markas PAN Kelantan.

Katanya, mengikut jadual penggiliran tidak rasmi dibuat bersama adik beradik, beliau sepatutnya menjadi imam pada waktu-waktu tertentu dan pagi Jumaat merupakan gilirannya menjadi imam serta menyampaikan kuliah Subuh.

“Cuma subuh tadi, adik ambo Ustaz Nik Abduh, naik jadi imam dan terus beri kuliah. Selepas itu dia bersalam, dan ambo cuma kata, tak apa ke bersalam, tak najis ke ambo ni?

“Dia kata ini keputusan keluarga, ambo tidak dibenarkan jadi imam dan bagi kuliah di situ lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×