LONDON – Kapten Brazil, Neymar terdesak untuk mengetuai negaranya memburu kejayaan di pentas Piala Dunia 2018 di Rusia bulan depan.
Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), 26, itu semakin cergas selepas pulih daripada masalah patah kaki untuk menyertai Piala Dunia yang mempunyai kurang daripada sebulan sahaja lagi akan berlangsung.
Justeru Neymar mendedahkan, dia bersemangat untuk membantu Brazil yang tampil sebagai salah satu pasukan pilihan bagi memenangi Piala Dunia pertama mereka sejak 2002.
“Apa yang memberikan inspirasi kepada saya adalah bermain bola sepak. Berada di atas padang adalah menjadi satu kebahagiaan besar buat saya.
“Piala Dunia adalah kejohanan terbesar di dunia, saya hanya mahu bermain dan menjadi juara. Trofi kali ini harus menjadi milik saya,” ujarnya.
Skuad Samba telah diundi bersama Switzerland, Costa Rica dan Serbia dalam Kumpulan E dengan aksi pertama peringkat kumpulan berlangsung pada 17 Jun depan.
Selepas disisihkan sejak Februari lalu, Neymar berkata, dia semakin hampir untuk kembali bermain.
“Saya telah bermula berlatih. Saya berasa baik dan selesa.
“Sudah tentu saya bimbang sedikit tetapi secara perlahan-lahan, saya kembali bermain,” katanya. – Agensi










